SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kekal optimis Pakatan Harapan (PH) mampu melepasi sasaran 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus mengekalkan pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada jentera parti di seluruh negeri serta perkembangan positif yang diperoleh sepanjang tempoh berkempen.
“Insya-Allah saya yakin kami (PH) akan melepasi 19 kerusi seperti yang saya tahu tadi. Pada saat akhir ini saya akan melihat semua kawasan yang kita tandingi dan insya-Allah saya rasa jentera tidak rasa down walaupun macam-macam spekulasi. Itu biasalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di N.13 Sikamat di pusat mengundi Institut Perguruan Kampus Raja Melewar di sini hari ini.
Menurut Aminuddin, pelbagai ramalan dan analisis yang tersebar menjelang hari pengundian tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar di lapangan kerana ia banyak bergantung kepada andaian dan data tertentu.
Katanya, keadaan sebenar hanya dapat dinilai menerusi gerak kerja jentera serta maklum balas yang diterima secara langsung daripada pengundi di setiap kawasan.
“Analisis yang kita rasa itu hanya di atas meja, dia tidak di bawah. Sebab itu saya yakin kami akan melepasi 19 kerusi,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pelbagai spekulasi terus dimainkan oleh pelbagai pihak sepanjang tempoh berkempen, ia tidak sedikit pun menjejaskan semangat jentera PH.
“Malah jentera PH terus bekerja sehingga saat akhir untuk memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar selain memberi peluang kepada rakyat membuat pilihan mereka secara bebas.
Beliau turut berharap peratusan keluar mengundi pada PRN kali ini berada pada tahap yang tinggi kerana ia mencerminkan komitmen rakyat terhadap proses demokrasi di negeri itu.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan berkata, keputusan muktamad tetap berada di tangan pengundi.
“Saya percaya usaha berterusan jentera PH sepanjang tempoh berkempen akan diterjemahkan kepada sokongan di peti undi hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















