JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menyita 19 buah motosikal atas pelbagai kesalahan dalam operasi di jalan Taman Kota Masai di sini malam tadi.
JPJ Johor dalam satu kenyaan memberitahu, menerusi Operasi Khas Bersepadu (Samseng Jalanan) itu dilaksanakan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

“Operasi ini dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan di samping mengesan serta mengambil tindakan terhadap penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati pelbagai kesalahan lalu lintas dikesan antaranya tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta melakukan pengubahsuaian kenderaan yang tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, dalam operasi juga sebanyak 231 notis dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang didapati melakukan kesalahan bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu jelas kenyataan itu, JPJ Johor akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa lain dalam melaksanakan operasi bersepadu secara berterusan.
Tambah kenyataan itu, ini bagi meningkatkan tahap pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, membanteras kegiatan samseng jalanan serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette
















