KUALA LUMPUR – Satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyeru semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, agama atau latar belakang untuk menolak budaya kebencian dan kembali kepada perbahasan yang matang, berasaskan fakta dan saling menghormati.
Civil-Led Accountability Network (CLAN) mahu semua pemimpin politik menunjukkan teladan dengan mengelak retorik yang boleh mencetuskan kebencian atau perpecahan.
“Pengguna media sosial menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi kandungan yang boleh memburukkan keadaan, platform digital memperkukuhkan tindakan terhadap kandungan yang jelas menghasut keganasan atau menyasarkan sesuatu kumpulan berdasarkan kaum, agama, kewarganegaraan atau identiti mereka.
“Semua pihak membezakan antara kritikan yang sah terhadap dasar atau tindakan seseorang dengan ucapan yang menyerang maruah sesuatu komuniti secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Menurut CLAN, kebebasan bersuara adalah hak yang perlu dipelihara namun hak tersebut datang bersama tanggungjawab untuk tidak menyebarkan kebencian atau mencetuskan permusuhan.
“Malaysia memerlukan lebih banyak dialog, empati dan penyelesaian, bukannya kemarahan yang dipergunakan untuk memecah-belahkan masyarakat.
“Marilah kita bersama-sama mempertahankan budaya hormat, kemanusiaan dan perpaduan demi masa depan negara,” kata kenyataan yang sama.
“Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Perbezaan pandangan politik adalah sebahagian daripada amalan demokrasi namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan ucapan kebencian, penghinaan, fitnah atau hasutan yang menghakis perpaduan masyarakat.
“Kebelakangan ini, kita menyaksikan peningkatan penggunaan bahasa yang menghina individu dan kumpulan tertentu di media sosial. Perbezaan pendapat semakin kerap bertukar menjadi serangan peribadi, pelabelan melampau dan kandungan yang menghasut kebencian terhadap komuniti tertentu.
Ucapan kebencian bukan sekadar menyakiti perasaan. Ia mampu mewujudkan suasana ketakutan, menggalakkan diskriminasi dan membuka ruang kepada keganasan. Apabila kebencian dinormalisasikan, seluruh masyarakat akan menanggung akibatnya,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette
















