KUANTAN – Polis Pahang melupuskan 14 jenis dadah yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membabitkan 2,485 kes dari tahun 2009 hingga 2025 berjumlah RM433,552.78.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, ia melibatkan dadah dalam bentuk pepejal seberat 28.91 kilogram (kg) dan dalam bentuk cecair sebanyak 2,667.52 liter.
Antara barang kes dadah utama terdiri daripada air ketum (1,960.33 liter), daun ketum (19.77 kg), methamphetamine (6.27 kg), heroin (1.09 kg), diphenhydramine(612.5 liter), cannabis (0.61 kg) dan cecair vape codeine (93.11 liter).

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelupusan Bahan Kes Dadah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Jelasnya, proses pelupusan keseluruhan 14 jenis dadah itu akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Tagar, Bestari Jaya, Selangor esok oleh kontraktor bertauliah yang dilantik.
“Dadah pelbagai jenis ini dilupuskan setelah mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding mahkamah yang telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah kes terbabit telah tamat,” katanya lagi.

Sementara itu, Azry Akmar berkata, sepanjang tempoh bermula Januari 2026 hingga Julai 2026, JSJN Pahang telah berjaya membuat 8,276 tangkapan berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang telah menghasilkan sebanyak 7,181 kes.
Katanya, ia hasil sejumlah 198 operasi yang dilaksanakan dalam tempoh itu di seluruh daerah di negeri ini. – MalaysiaGazette
















