PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti semula siasatan terhadap satu skim pelaburan yang didakwa memperdaya lebih 100 pelabur sehingga mengakibatkan kerugian melebihi RM29 juta.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, permohonan itu dibuat susulan keputusan mahkamah yang menurutnya mendapati individu bergelar ‘Datuk’ yang mengendalikan skim berkenaan mengambil wang pelaburan daripada orang ramai tanpa sebarang niat untuk membayar pulangan sejak 2023.
Beliau berkata, setakat ini, MHO mewakili 109 mangsa yang tampil membuat aduan selepas mendakwa kerugian akibat menyertai skim pelaburan tersebut.
“Kesemua mangsa sebelum ini telah membuat laporan polis, namun laporan itu diklasifikasikan sebagai ‘Rujuk Lain Agensi’ sebelum dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
“Keputusan itu dibuat susulan kenyataan rasmi BNM pada September 2023 yang menyatakan syarikat terbabit melakukan kesalahan di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan kerana menerima deposit daripada orang awam tanpa kebenaran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Hishamuddin, tindakan undang-undang yang dikenakan ketika itu hanya melibatkan kesalahan di bawah akta berkenaan menyebabkan syarikat terbabit dikenakan denda RM50 juta.
Bagaimanapun mangsa berpendapat tindakan tersebut tidak mencerminkan keseluruhan kesalahan yang didakwa berlaku kerana mereka percaya wujud unsur penipuan jenayah terhadap pelabur.
“Berdasarkan dapatan mahkamah itu, kami memohon AGC mempertimbangkan supaya siasatan dibuka semula di bawah Kanun Keseksaan khususnya Seksyen 420 berkaitan kesalahan menipu.
“Mangsa berharap kes ini dapat dinilai semula daripada sudut jenayah supaya pihak yang bertanggungjawab dapat dihadapkan ke muka pengadilan mengikut peruntukan undang-undang yang sewajarnya,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















