Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Landskap politik Melaka yang berbeza dengan Johor dan Negeri Sembilan berpotensi mencetuskan bibit-bibit perpecahan dalam persefahaman Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nur Ayuni Mohd. Isa berkata, walaupun persefahaman tersebut membawa kemenangan besar di Johor dan Negeri Sembilan, BN dan PN dijangka berdepan pelbagai cabaran pada pilihan raya akan datang.

Ini termasuk isu pembahagian kerusi untuk ditandingi serta agihan jawatan selepas kemenangan yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati.

Beliau berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa bentuk persefahaman BN-PN di Melaka mungkin berbeza daripada formula yang digunakan di Johor dan Negeri Sembilan boleh dibaca sebagai isyarat awal bahawa Pas dan PN tidak mahu sekadar menjadi rakan kecil kepada BN di negeri itu.

“Abdul Hadi mempunyai asas untuk membangkitkan perkara itu. BN kini menguasai 20 daripada 28 kerusi DUN Melaka dan masih mempunyai majoriti dua pertiga, tetapi gabungan tersebut gagal memenangi satu pun daripada enam kerusi Parlimen Melaka dalam PRU15.

“Sebaliknya, PN memenangi Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin manakala PH menguasai Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka.

“Keadaan ini mewujudkan dua ukuran kekuatan yang bercanggah. UMNO boleh berhujah bahawa ia lebih kuat kerana menguasai kerajaan negeri, jawatan Ketua Menteri dan majoriti besar dalam DUN.

“Pas serta PN pula boleh berhujah bahawa keputusan pilihan raya yang lebih terkini, iaitu PRU15 pada 2022, menunjukkan BN telah kehilangan penguasaan sebenar dalam kalangan pengundi Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Nur Ayuni berkata, kenyataan Abdul Hadi juga dilihat sebagai usaha meningkatkan kedudukan tawar-menawar Pas dan PN sebelum rundingan rasmi bermula.

Katanya, di Negeri Sembilan, BN muncul sebagai komponen terbesar dengan 18 kerusi, PN tujuh kerusi dan PH 11 kerusi. Justeru, Pas menerima hakikat bahawa BN mengetuai kerajaan negeri, manakala pembahagian jawatan Exco dibuat berdasarkan jumlah kerusi dimenangi.

Di Melaka pula, katanya, Pas boleh berhujah bahawa formula itu tidak boleh digunakan secara terus kerana jika pembahagian dibuat berdasarkan penyandang DUN, BN hampir pasti memperoleh sebahagian besar daripada 28 kerusi.

Namun jika berdasarkan keputusan PRU15, PN boleh menuntut sekurang-kurangnya 10 kerusi atau jumlah yang hampir seimbang dengan BN.

“Di sinilah bibit perpecahan akan bermula. Tidak ada formula yang dapat memuaskan kedua-dua pihak sepenuhnya. Formula penyandang menguntungkan UMNO kerana BN mempunyai 20 ADUN.

“Formula keputusan terkini menguntungkan PN kerana PN memenangi tiga kerusi Parlimen dan menguasai 10 DUN berdasarkan pecahan PRU15.

“Formula kebolehmenangan pula boleh menyebabkan penyandang UMNO diminta menyerahkan kerusi kepada Pas atau Wawasan, sekali gus mencetuskan penolakan bahagian serta sabotaj dalaman,” katanya.

Beliau berkata, walaupun isu pembahagian kerusi dapat diselesaikan, pertikaian seterusnya dijangka membabitkan agihan jawatan selepas kemenangan.

Katanya, UMNO sudah tentu mahu mengekalkan jawatan Ketua Menteri kerana merupakan parti kerajaan semasa, manakala Pas dan PN pula mungkin menuntut jawatan Timbalan Ketua Menteri, beberapa portfolio Exco kanan, jawatan dalam GLC negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi agama dan pembangunan luar bandar.

“Sekiranya BN memenangi lebih banyak kerusi, Pas berisiko dilihat sebagai kuda tunggangan UMNO. Sebaliknya, jika PN diberikan banyak kerusi dan jawatan, pemimpin serta penyokong UMNO mungkin mempersoalkan mengapa parti yang menguasai 20 kerusi DUN perlu tunduk kepada gabungan yang hanya mempunyai dua kerusi PN dalam komposisi semasa.

“Melaka hanyalah gambaran kecil kepada masalah pembahagian kerusi di peringkat nasional. Pas dan PN mempunyai kedudukan dominan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“Sukar dibayangkan Pas sanggup menyerahkan banyak kerusi selamat kepada UMNO semata-mata atas nama penyatuan Melayu. Sebaliknya, UMNO tidak mungkin bersedia menyerahkan kerusi tradisinya di Pahang, Johor dan beberapa negeri lain kepada Pas atau Wawasan.

“Persoalan sama akan timbul dalam menentukan calon Perdana Menteri, Menteri Besar, pembahagian kerusi Parlimen serta kedudukan Wawasan dalam kerjasama tersebut,” katanya. – MalaysiaGazete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. BN PN dim PRN MELAKA hanya boleh direalisasikan seleods prn. Masa prn BN PN boleh bersaing menggunakan logo parti masing masing

Comments are closed.