Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu berhubung kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, PN tidak perlu mendahului perundingan, meskipun Barisan Nasional (BN) sudah menyatakan hasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat menambah, parti itu turut menyerahkan kepada pucuk pimpinan berhubung perkara tersebut dan tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan.

“Pucuk pimpinan BN dah istihar nak bertanding hampir semua kerusi majoriti Melayu utk mereka. Tinggal satu dua kerusi saja utk parti parti lain.

“Bagi jentera dan Jabatan Pilihanraya Pas, kita akan buat kajian sentimen rakyat. Kita amat menghargai aspirasi rakyat Melaka.

“Amatlah perlu kita cermat membuat perhitungan dan tidak mudah lupa dengan kejayaan yg sudah di capai. Ia sebahagian dari ujian buat kita semua,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu bertekad mempertahankan kesemua 21 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini pada PRN Melaka akan datang.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pihaknya kekal terbuka untuk mengadakan sebarangan rundingan dengan mana-mana pihak bagi meraih sokongan lebih meluas.

Pada PRN Melaka 2021, BN berjaya memenangi 21 daripada 23 kerusi DUN yang dipertandingkan sekali gus membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast