Donald Trump. Photo by AFP

 

WASHINGTON – Mahkamah rayuan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan perintah menghentikan kerja pembinaan dewan tari-menari yang menjadi projek kebanggaan Presiden Donald Trump.

Perintah itu telah mencetuskan kemarahan Trump dan membuka ruang kepada satu lagi pertikaian di Mahkamah Agung berhubung had kuasa presiden.

Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat bagi Daerah Columbia yang sebelum ini membenarkan pembinaan diteruskan sementara kes itu dipertimbangkan, bersetuju dengan mahkamah rendah bahawa pengubahsuaian besar-besaran terhadap White House memerlukan kelulusan jelas daripada Kongres.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan keputusannya sendiri selama dua minggu bagi memberi Trump masa memohon campur tangan Mahkamah Agung.

Presiden daripada Parti Republikan itu mengecam keputusan 2-1 berkenaan dan menyifatkannya sebagai “mengerikan, bermotifkan politik dan menyalahi undang-undang”.

Dua hakim yang membentuk majoriti keputusan itu dilantik oleh presiden daripada Parti Demokrat, manakala hakim yang membantah keputusan berkenaan dicalonkan oleh Trump sendiri.

Trump berikrar dalam hantaran panjang di media sosial bahawa beliau akan segera merayu keputusan itu kepada Mahkamah Agung.

“Keputusan ini, dibuat selepas sebahagian besar kerja sudah dilakukan dan dibayar, merupakan ancaman keselamatan negara pada tahap tertinggi. Ia juga satu kehinaan kepada negara,” kata Trump dalam satu lagi hantaran di platform Truth Social miliknya.

Trump pada awalnya menyifatkan pembinaan dewan tari-menari itu sebagai keperluan bagi menganjurkan majlis gala, namun sejak itu beliau berulang kali menekankan bahawa projek tersebut turut melibatkan pembinaan bunker tentera bawah tanah serta ciri-ciri keselamatan lain.

Mengikut perintah awal hakim mahkamah daerah, kerja pembinaan hanya dibenarkan diteruskan bagi struktur tertentu, termasuk bahagian yang terletak di bawah tanah.

“Keputusan ini sama sekali tidak berkaitan dengan sama ada dewan tari-menari yang dicadangkan itu wajar atau tidak dari sudut dasar.

“Keputusan ini juga tidak semestinya bermakna defendan tidak boleh membina dewan itu pada akhirnya.

“Apa yang dimaksudkan ialah defendan tidak boleh berbuat demikian sepanjang proses perbicaraan segera di mahkamah daerah tanpa mendapatkan kebenaran Kongres, sebagaimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan undang-undang,” kata majoriti hakim dalam keputusan pada hari Jumaat.

Trump yang berulang kali mengulas bahawa White House tidak mempunyai ruang mencukupi untuk menganjurkan majlis gala besar seperti jamuan negara, mengarahkan pembinaan dewan berkenaan secara unilateral.

Kerja projek itu bermula tahun lalu dengan perobohan secara mengejut keseluruhan sayap timur White House.

Sejak itu, beberapa gambar menunjukkan kerja pembinaan kompleks ruang bawah tanah yang semakin ketara, termasuk dinding konkrit yang sebahagiannya sudah muncul di atas permukaan tanah.

Trump bertegas, pembinaan dewan itu akan dibiayai secara persendirian, namun laporan media pada Jun menunjukkan sejumlah besar dana pembayar cukai turut digunakan untuk projek berkenaan, yang dianggarkan boleh menelan kos sehingga AS$600 juta.

White House pada awalnya menganggarkan kos projek itu sebanyak AS$200 juta, sebelum menggandakan anggaran tersebut kepada AS$400 juta.

Dewan tari-menari itu hanya satu daripada beberapa projek yang mahu direalisasikan Trump bagi meninggalkan legasi di Washington sebelum tamat tempoh jawatannya pada 2029.

Antara projek lain termasuk pengubahsuaian Kolam Pantulan Memorial Lincoln dan beberapa taman, selain pembinaan sebuah gerbang gergasi.

Beberapa projek berkenaan turut berdepan cabaran undang-undang, namun projek dewan tari-menari itu bakal menjadi yang pertama dibawa ke Mahkamah Agung. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast