Sebanyak 643 titik panas dikesan di Kalimantan, 17 di Sumatera dan 25 titik panas dalam negara.

KUALA LUMPUR – Kualiti udara di negara ini semakin merosot apabila lima kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 8 pagi hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, bacaan tertinggi direkodkan di IPD Serian dengan IPU 171, diikuti Kuching dan Samarahan masing-masing 154.

“Sri Aman pula mencatatkan IPU 139 manakala Bintulu merekodkan bacaan 124,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak tiga kawasan mencatatkan status kualiti udara baik, manakala 60 kawasan berada pada tahap sederhana.

“Peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat terutama di Sarawak dipercayai berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

“Situasi itu turut dikaitkan dengan peningkatan aktiviti titik panas di rantau ini, khususnya di Kalimantan.

“Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) bertarikh 7 Ogos 2026, sebanyak 643 titik panas dikesan di Kalimantan, 17 di Sumatera dan 25 titik panas dalam negara.

“Dari 25 titik panas dalam negara itu, sebanyak 22 dikesan di Sarawak, manakala dua di Selangor dan satu di Terengganu,” katanya.

Menurut Azuri, peta jerebu serantau ASMC turut menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan rantau ASEAN selatan, dengan hanya hujan terpencil di bahagian utara Sumatera dan Semenanjung Malaysia.

“Keadaan paling membimbangkan dilaporkan berlaku di Kalimantan Barat apabila titik panas dikesan secara meluas, manakala titik panas terpencil hingga berselerak turut dikesan di beberapa kawasan lain di Kalimantan,” katanya.

Selain itu, katanya, kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.

“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan di beberapa kawasan lain di Kalimantan serta bahagian tengah Sarawak, manakala kepulan asap ringan hingga sederhana diperhatikan di bahagian selatan dan tengah Sumatera serta timur Pulau Jawa,” katanya.

Susulan keadaan itu, katanya, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang dikenal pasti berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka dan situasi jerebu.

“Mengikut PTJK, NADMA akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.

“Sekolah, tadika dan taska pula perlu ditutup serta-merta sekiranya bacaan IPU melebihi 200.

“Pihak sekolah, tadika dan taska juga diarahkan sentiasa memantau bacaan IPU dan membuat persediaan sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah paras 200,” katanya.

Menurut Azuri, Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

“JAS bersama kementerian dan agensi berkaitan pengurusan bencana jerebu akan terus mengambil tindakan dengan lebih cepat dan responsif berdasarkan ketetapan dalam PTJK,” katanya.

Dalam perkembangan sama, JAS meminta semua pemilik tanah untuk memantau dengan rapi kawasan mudah dan sering terbakar termasuk tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan kawasan industri.

“Pemilik tanah diingatkan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kawasan mereka diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja,” katanya.

Katanya lagi, orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka kerana tindakan itu boleh membawa hukuman berat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.

“Di bawah pindaan itu, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga maksimum RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

“Kompaun sehingga tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum turut boleh dikenakan bagi setiap kesalahan,” katanya.

Menurutnya lagi, orang ramai diminta bekerjasama memadamkan kebakaran kecil serta melaporkan sebarang kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat melalui talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.

“Bacaan IPU terkini setiap jam boleh disemak melalui sistem rasmi JAS, manakala orang ramai turut dinasihatkan mendapatkan panduan kesihatan dan langkah pencegahan jerebu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“JAS menegaskan pemantauan akan terus dipertingkatkan susulan keadaan cuaca kering dan pergerakan asap rentas sempadan yang berpotensi menyebabkan kemerosotan kualiti udara, khususnya di Sarawak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast