Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas melepaskan peserta Program Pelepasan Jelajah motosikal berkuasa tinggi STAR CITY FC di Dataran Masjid Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi merangka pelan penambaikan aspek keselamatan di lapangan terbang di semua pintu masuk utama negara susulan seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan selepas didakwa membawa dadah ke Indonesia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu, yang mengarahkan kementerian terlibat menyediakan pelan komprehensif bagi menangani isu berkenaan.

“Pada akhir mesyuarat itu, satu ketetapan telah dibuat iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) diminta mengemukakan satu pelan komprehensif penambahbaikan mitigasi berkait kejadian itu.

“Aspek operasinya, aspek equipmentnya, aspek manpowernya, penyelarasannya, dan itu harus diuruskan dalam masa terdekat.

“Esok, saya akan mengadakan mesyuarat melibatkan pimpinan pegawai-pegawai tinggi kementerian di KDN dan difahamkan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) juga berbuat demikian kerana tugasan itu diberikan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelepasan Star City FC di Dataran Masjid Putrajaya di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bergambar bersama peserta Program Pelepasan Jelajah motosikal berkuasa tinggi STAR CITY FC di Dataran Masjid Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 OGOS 2026.

Semalam media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya kementerian dan agensi berkaitan memperketat kawalan serta memperkasa tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah langkah berkenaan penting bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Pada 29 Julai lalu, seorang juruterbang warga Malaysia ditahan kerana disyaki cuba menyeludup dadah termasuk lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.

Lelaki berusia 39 tahun itu dilaporkan menaiki penerbangan berkenaan sebelum ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast