KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dipercayai hilang kawalan sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer (KM) 301.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu melibatkan mangsa tempatan berusia 35 tahun.
“Siasatan menndapati, mangsa menunggang motosikal di lorong kiri dipercayai hilang kawalan ketika sebelum terjatuh ke lorong tengah dan kemudian datang sebuah kereta yang sedang bergerak terus di lorong tengah tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di atas jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes terbabit sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mengesan saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau video kejadian, terutama yang melalui lokasi berkenaan ketika kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-326 8496. – MalaysiaGazette
















