PASIR GUDANG – “Arwah adalah pinjaman dari Allah selama 12 tahun untuk saya jaga, Insya-Allah anak abah dunia akhirat,” ujar Mohamad Khairudi Setapa, 42, sambil mengesat air mata yang laju mengalir hingga tidak dapat meneruskan bicara.
Mohamad Khairudi merupakan bapa kepada Mohamad Haikal Ramzi, salah seorang daripada dua kanak-kanak mangsa lemas yang ditemui dalam kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex di sini hari ini.
Meskipun begitu sedih, Mohamad Khairudi berkata, dia reda dengan ujian kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu.
Mohamad Khairudi yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan yang tinggal di taman tersebut berkata, dia menyedari kehilangan anak lelakinya itu tidak pulang ke rumah pada waktu maghrib selepas keluar bermain dengan rakannya sejak petang semalam.

“Anak saya ini seorang yang mudah berkawan dan dia selalu keluar bermain dengan kawan pada sebelah petang kalau hari cuti.
“Mohamad Haikal dan Adam (mangsa kedua) baru kenal tiga hari, saya percaya mereka luangkan masa bersama dan saya tidak tahu pula mereka ke empangan itu sebab itu bukan selalu tempat mereka bermain.
“Tiba waktu maghrib anak saya tak balik-balik lagi, saya mula risau dan cuba mencarinya di kawasan sekitar Taman Scientex sebelum kawan-kawan memberi tahu kedua-dua mereka (Mohamad Haikal dan Adam) bermain di kawasan empangan tersebut,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang di sini hari ini.
Dalam kejadian tersebut, Mohamad Haikal Ramzi, 12, dan Muhammad Faris Adam Arman, 11, ditemui lemas selepas dipercayai mandi di empangan tersebut petang semalam.
Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan Skudai menemukan Mohammad Haikal pada kedalaman 2 meter dan jarak 3 meter dari tebing pada pukul 2.12 tengah malam tadi.

Muhammad Faris pula berjaya dijumpai oleh pasukan PPDA pada kedalaman 2 meter dan jarak 15 kaki dari tebing pukul 2.33 pagi tadi.
Bercerita lanjut, Mohamad Khairudi berkata, dia dan keluarga Muhammad Faris terus keluar mencari kedua-dua mangsa di kawasan empangan tersebut sebelum menjumpai basikal, selipar dan pakaian anaknya sebagai petunjuk mereka berada di situ.
Jelasnya, susulan penemuan tersebut, mereka sekeluarga membuat laporan polis berhubung berhubung kehilangan anaknya itu pukul 9 malam.

Katannya, pasukan polis, anggota bomba serta penduduk taman melakukan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 10.36 malam sebelum kedua-dua mangsa ditemui beberapa jam kemudian.
“Saya ralat sebab tak sempat nak menunaikan permintaannya supaya belikan permainan kotak misteri robotik beberapa hari sebelum kejadian.
“Dia kumpul duit sendiri nak beli permainan itu dan dia tahu saya gaji bila, dia minta suruh belikan tapi saya ralat tak sempat nak belikan,” katanya dan memberitahu arwah anaknya itu belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok di sini.
Mengulas mengenai tragedi itu, dia percaya faktor dasar empangan yang berselut tebal menjadi antara punca kedua-dua mangsa terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.

“Kalau kedalaman dua meter saya yakin anak saya masih boleh menyelamatkan diri. Namun, saya difahamkan kawasan empangan itu berselut tebal, mungkin keadaan itu menyukarkan pergerakannya,” katanya.
Sementara itu, kakak mangsa, Nur Ain Natasya, 17, berkata, biasanya arwah memang tidak beritahu apabila keluar rumah untuk bersama-sama rakannya.
Nur Ain yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai berkata, namun apabila adiknya itu tidak pulang ke rumah maghrib semalam, keluarganya Mula risau dan mula mencarinya.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi perkarangan jabatan forensik berkenaan apabila kedua-dua keluarga menunggu proses bedah siasat.
Bagaimanapun, keluarga kepada mangsa Muhammad Adam Faris Arman yang bersekolah di SK Kota Puteri 4 enggan ditemubual.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainah Pasir Gudang di sini selepas zuhur. – MalaysiaGazette
















