KUALA LUMPUR – Cabaran supaya Pas mengheret DAP ke mahkamah jika parti itu benar-benar mengancam kedudukan Melayu dan Islam tidak menjawab isu pokok yang dibangkitkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak semua persoalan politik, ideologi dan dasar sesebuah parti boleh diterjemahkan sebagai kesalahan jenayah yang perlu diputuskan oleh mahkamah.
Sebaliknya menurut beliau, mahkamah menentukan sesuatu kes berdasarkan peruntukan undang-undang, bidang kuasa dan bukti, bukannya menjadi tribunal umum untuk memutuskan sama ada sesebuah parti bersikap mesra atau tidak mesra terhadap agama atau kelompok masyarakat tertentu.
“Ada perkara yang perlu diputuskan oleh hakim, ada yang berada di bawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan dan ada juga yang sewajarnya diputuskan melalui perbahasan terbuka berdasarkan dokumen, rekod, dasar serta jawapan substantif daripada pihak yang dipersoalkan.
“Dalam isu ini, cabaran ‘samanlah jika benar’ tidak menamatkan perdebatan, sebaliknya hanya mengalihkan perhatian daripada persoalan pokok yang masih terus diperdebatkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cabaran Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Aiman Athirah Sabu yang meminta Abdul Hadi menyaman DAP sekiranya dakwaan bahawa parti itu mengancam kedudukan Melayu dan Islam benar-benar mempunyai asas.
Mengulas lanjut, Fadhli mempersoalkan cabaran tersebut kerana pada masa sama Pas sering dilabel sebagai parti ekstrem, konservatif dan keras tanpa dakwaan itu dibawa ke mahkamah.
“Jika pihak lain dibenarkan menilai Pas berdasarkan kenyataan pemimpin, pendirian parti dan kecenderungan ideologinya tanpa penghakiman mahkamah, maka prinsip yang sama sewajarnya terpakai kepada DAP,” katanya.
Fadhli yang mempertahankan kenyataan Abdul Hadi berkata, Presiden Pas itu mengaitkan pendiriannya dengan sejarah kerjasama parti itu dengan DAP sebelum ini, termasuk berkaitan negara Islam dan pelaksanaan syariah, kedudukan Islam dalam Perlembagaan serta fahaman sekularisme dan Malaysian Malaysia.
Menurutnya, isu tersebut merupakan persoalan politik dan perlembagaan yang boleh dinilai melalui dokumen, kenyataan, rekod pengundian dan tindakan parti.
Beliau turut membangkitkan objektif dalam Perlembagaan DAP yang menyebut usaha memperkukuh Perlembagaan Malaysia dalam “rangka kerja sekular asalnya” dan mempersoalkan tafsiran konsep tersebut dalam konteks kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Fadhli menegaskan, DAP bukan komponen kecil dalam Pakatan Harapan (PH) kerana parti itu memenangi 40 daripada 82 kerusi Parlimen yang dimenangi gabungan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), berbanding PKR sebanyak 31 kerusi, Amanah (lapan) dan UPKO (dua).
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai keselarasan Perlembagaan DAP dengan Seksyen 2A(1) Akta Pertubuhan 1966 yang mewajibkan pertubuhan berdaftar memastikan kegiatan mereka selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak.
“Perkara ini merupakan bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan untuk menilainya mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















