Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menghadiri program Projek Rintis Bakat STEM di Tech Dome Penang di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Ekonomi dijangka menyelesaikan proses saringan terakhir cadangan pembangunan bagi Belanjawan 2027 menjelang pertengahan bulan ini, sebelum dapatan berkenaan diserahkan kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, proses saringan itu kini berada di peringkat penghujung dengan kementeriannya turut meneliti keperluan peruntukan baharu selain projek sambungan bagi pembangunan tahun depan.

“Ketika ini, di peringkat Kementerian Ekonomi, kita telah sampai ke peringkat penghujung untuk saringan bajet di peringkat terakhir sebelum kita serahkan dapatan yang kita rangka untuk pembangunan tahun 2027 kepada MOF.

“Jangkaan saya, menjelang pertengahan bulan ini, segala proses di Kementerian Ekonomi akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan peluncuran Projek Rintis Bakat STEM di Tech Dome Penang di sini, hari ini.

Menurutnya, perancangan pembangunan 2027 turut mengambil kira keupayaan kerajaan melaksanakan agenda yang digariskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), termasuk keperluan infrastruktur serta usaha mempercepatkan pembangunan industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.

“Sebahagiannya telah pun diluluskan dalam RP1 sebelum ini. Tapi untuk RP2, sudah pasti ada beberapa perkara yang mana saya lihat dari segi keperluan sama ada infrastrukturnya dan juga dari segi bagaimana pembangunan kerajaan ini dapat meningkatkan ataupun mempercepatkan ke arah industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi yang kita cadangkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal Nasrullah berkata, kerajaan bersedia memperuntukkan RM12.3 juta bagi tempoh empat tahun untuk menjayakan program STEM di Pulau Pinang.

Katanya, program itu bermula daripada pelan induk yang diketengahkan pada 2024 sebelum sesi libat urus bersama kerajaan negeri dan pihak industri membawa kepada pindaan peruntukan bagi membolehkan pelaksanaannya dimulakan tahun ini.

“Bagi peringkat negeri Pulau Pinang persiapan untuk industri dan anak-anak Pulau Pinang agar mendapat peluang ke arah pekerjaan yang mempunyai gaji yang lebih baik.

“Tapi di peringkat negara, kita melihat bahawa pendekatan secara ekosistem yang menyeluruh untuk membawa minat STEM ini, kita boleh jadikan projek rintis di Pulau Pinang dan berdasarkan kejayaannya nanti, boleh diketengahkan di negeri-negeri lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast