Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika hadir ke mahkamah bagi menyambung perbicaraan kes saman sivil RM42 juta difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadapnya, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang pelikuidasi antarabangsa memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak mengingati sama ada Datuk Seri Najib Razak mempunyai kaitan dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan dua pegawai PetroSaudi International (PSI).

Angela Barkhouse yang juga pakar pemulihan aset luar pesisir berkata, beliau tidak ingat sama ada bekas perdana menteri dikaitkan dalam prosiding terhadap Ketua Pegawai Eksekutif PSI, Tarek Obaid dan pengarah Patrick Mahony di Switzerland.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Pengarah Urusan Kroll (Cayman) Ltd, itu berkata, beliau mengikuti prosiding tersebut pada 2024 dan menyemak rekod mahkamah berkaitan kes itu.

Menurut laporan media, Mahkamah Persekutuan Jenayah di Switzerland telah mensabitkan kedua-duanya atas kesalahan menyeleweng sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion daripada dana 1MDB. Tarek dihukum penjara tujuh tahun dan Patrick dipenjara enam tahun.

Angela menyatakan demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes saman 1MDB (plaintif) dan empat yang lain terhadap Najib dan enam pihak berhubung penyelewengan dana AS$5.6 billion.

Saksi ketiga plaintif itu turut menyatakan, beliau tidak pasti sama ada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low merupakan individu `nombor satu’ dalam dakwaan konspirasi melibatkan dana 1MDB.

Bagaimanapun, Angela yang juga Ketua Bahagian Amalan Luar Pesisir Kroll berkata, individu yang menerima dana tersebut akan menjadi tumpuan perhatian beliau selaku pelikuidasi yang dilantik mengendalikan kes tersebut.

Dalam keterangannya, saksi berkata, Najib tidak terlibat dalam kes terhadap dua individu dari BSI Bank di Singapura yang turut dipenjara kerana kes pengubahan wang haram.

Menurut pelikuidasi itu, beliau mengetahui bahawa BSI Bank di Singapura dan Switzerland diarah tutup kerana salah urus dan salah laku yang serius, serta pelanggaran peraturan antipengubahan wang haram.

Namun, saksi berkata, beliau tidak mengingati sama ada Najib mempunyai kaitan dengan salah laku kedua-dua bank berkenaan.

Angela selanjutnya menyatakan, beliau tidak mengetahui bahawa AmIslamic Bank turut dikenakan dua kali penalti oleh Bank Negara Malaysia (BNM) masing-masing RM2.8 billion dan RM1.4 billion.

Dalam pernyataan saksinya, beliau berkata, rekod-rekod yang diperolehi menunjukkan dana 1MDB telah melalui beberapa syarikat dilikuidasi yang akhirnya disalurkan untuk manfaat pelbagai pihak termasuk Najib.

Angela berkata, selaku pelikuidasi antarabangsa, pihaknya memperoleh rekod kewangan, korporat dan perbankan daripada syarikat-syarikat yang dilikuidasi, institusi kewangan dan sumber-sumber lain.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus kemudian menetapkan perbicaraan bersambung esok.

Dalam saman itu, 1MDB mengemukakan lapan kausa tindakan terhadap Najib iaitu penipuan, kecuaian, pelanggaran kewajipan fidusiari, pecah amanah, konspirasi, tort salah laku dalam jawatan awam, pengayaan tidak adil, dan penerimaan amanah konstruktif.

Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion.

Pada 7 Mei 2021, writ saman terbabit pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk Najib.

Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat, Jasmine Loo Ai Swan dan Ashvin Jethanand Valiram.

Defendan lain, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan. Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi manakala Jasmine Loo juga tidak tersenarai sebagai defendan – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast