Dr. Akmal Saleh

SHAH ALAM –  Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dipersoalkan kerana didakwa tidak menunjukkan ketegasan sama terhadap kontroversi Jalur Gemilang di Kuala Terengganu berbanding insiden di Kepala Batas tahun lalu.

Pengerusi DAP Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer berkata, perbezaan reaksi terhadap kedua-dua kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai ketegasan sesetengah pihak dalam mempertahankan maruah dan lambang negara.

Menurutnya, ketika kontroversi di Kepala Batas tercetus susulan sebuah klip video yang menimbulkan salah faham kononnya Jalur Gemilang dipasang terbalik, Akmal tampil memberikan reaksi keras terhadap kejadian berkenaan.

“Setahun yang lalu, sebuah video tular di Kepala Batas memaparkan seorang pekerja memasang Jalur Gemilang. Akibat klip yang dipotong, bendera itu disalah anggap terbalik.

“Insiden ini dieksploitasi secara agresif apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, bergegas hadir bersama rakan-rakan politik untuk mencetuskan konfrontasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi DAP Cawangan Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen

Muhammad Shakir mendakwa polemik ketika itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana kesilapan atau salah faham boleh bertukar menjadi pertikaian politik.

Bagaimanapun, katanya, reaksi berbeza dilihat apabila timbul insiden terbaharu di Kuala Terengganu yang membabitkan Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang.

“Namun, ironinya, minggu lalu sebuah Jalur Gemilang tanpa bulan dan bintang yang jelas menghina lambang negara berkibar di Kuala Terengganu.

“Tiada serbuan. Tiada protes jalanan. Sebaliknya, ia disenyapkan begitu sahaja sebagai ‘kes terpencil’,” tegasnya.

Sehubungan itu, Muhammad Shakir mempersoalkan mengapa ketegasan yang pernah ditunjukkan sebelum ini tidak kelihatan dalam kontroversi terbaharu itu.

“Di sinilah letaknya hipokrasi yang ketara: di manakah semangat ‘pejuang bangsa’ apabila maruah bendera dicabar di tempat yang tidak memberi pulangan politik?

“Adakah nasionalisme kini hanya bernilai jika ia mendatangkan keuntungan undi?” soalnya.

Beliau berkata, penghormatan terhadap Jalur Gemilang sepatutnya berasaskan prinsip yang sama tanpa mengira lokasi, pihak yang terlibat atau kepentingan politik.

“Rakyat Malaysia tidak boleh terus menutup mata. Inilah cermin paling jelas untuk menilai sama ada perjuangan mereka berpaksikan maruah negara, atau sekadar wayang bermuka-muka,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, kontroversi tercetus selepas video memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik di sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang tular di media sosial.

Polis kemudian menahan seorang lelaki berusia 59 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Susulan kejadian itu, Akmal mengumumkan rancangan untuk hadir ke premis berkenaan menerusi satu perhimpunan yang dinamakan ‘Himpunan Maruah Tanah Airku’, namun rancangan berkenaan pada awalnya ditangguhkan bagi memberi ruang kepada proses undang-undang.

Beberapa hari kemudian, Akmal dilaporkan mengetuai lebih 300 individu dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Kepala Batas bagi membantah insiden berkenaan.

Beliau kemudiannya berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan tindakannya ketika kontroversi tersebut

Kontroversi terbaharu pula tercetus selepas Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit dan bintang dilaporkan berkibar di Kuala Terengganu.

Namun Menteri Besar Terengganu menyifatkan kejadian berkenaan sebagai tidak disengajakan dan terpencil, manakala Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dilaporkan akan memastikan bendera selepas ini dipasang mengikut spesifikasi ditetapkan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast