KUALA LUMPUR – Isu buli bukan semata-mata tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa dan agensi penguatkuasaan berkaitan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M. Kumar berkata, kes buli merupakan isu serius yang boleh dielakkan sekiranya masyarakat lebih prihatin dan mengambil berat terhadap keadaan serta situasi yang dialami anak-anak.
“Sekarang ini, isu buli ini adakah semata-mata tugas sesuatu pihak, contohnya tugas PDRM saja? Tidak. Ia melibatkan segenap lapisan masyarakat, daripada ibu bapa sehinggalah agensi-agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan selanjutnya.
“Jadi semua kena mainkan peranan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Trailer Filem Is Not A Joke di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.
Kumar berkata, masyarakat juga tidak seharusnya hanya ghairah merakam kejadian seperti buli, kemalangan dan sebagainya untuk ditularkan, sebaliknya perlu segera menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Beliau berkata, sikap mengambil berat terhadap perkara yang berlaku di sekeliling bukan sesuatu yang salah, malah penting dalam usaha mencegah kejadian buli.
“Berhati-hati, ambil berat. Di sinilah kita mengamalkan ‘jaga tepi kain orang’. Tak salah. Dalam aspek ini, ia tak salah.
“Sebab hari ini perkara ini berlaku kepada anak yang kita tak kenal. Esok, mungkin anak yang kita kenal. Lusa mungkin darah daging kita sendiri,” katanya.
Menurut beliau lagi, masyarakat tidak seharusnya menunggu sehingga kejadian buli menimpa orang yang dikenali atau ahli keluarga sendiri sebelum mengambil tindakan.
“Adakah kita nak tunggu sehingga setahap itu atau saat itu mengambil tindakan? Semua elemen atau kes buli adalah kes-kes yang boleh dielakkan.
“Cuma kita perlu lebih prihatin, lebih memahami keadaan anak-anak kita dan situasi yang dialami oleh anak-anak kita,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, polis menerusi kerjasama dengan Dream Film Sdn. Bhd. menyasarkan kira-kira 100 institusi pendidikan bagi membawa mesej kesedaran mengenai isu buli melalui filem Is Not A Joke.
Beliau berharap, usaha itu dapat memberi kesedaran kepada masyarakat, walaupun hanya 10 peratus daripada penonton menerima mesej yang dibawa menerusi filem berkenaan.
“Kalau daripada filem ini 10 peratus mendapat kesedaran, kita telah berjaya,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Kumar berkata, trend merakam insiden dan menularkan rakaman atas kepentingan peribadi bukan sahaja boleh menjejaskan siasatan pihak penguat kuasa, malah memberi kesan trauma berpanjangan kepada mangsa serta keluarga.
Beliau berkata, kerjasama JSJ melalui Bahagian D11 dalam menghasilkan filem ini membuktikan kepakaran polis dan kekuatan industri kreatif mampu digabungkan bagi menyampaikan mesej pencegahan jenayah yang memberi impak positif kepada masyarakat.
“Jika filem ini mampu menjadikan ibu bapa lebih prihatin, guru lebih responsif terhadap setiap aduan, dan rakan memilih untuk membantu daripada sekadar melihat, maka itulah perubahan sebenar yang ingin kita bina dalam masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















