KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini berhubung beberapa isu berkaitan kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN).
JPPM berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam aduan berkenaan ialah dakwaan Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu serta isu berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.
Menurutnya, penelitian terhadap aduan itu sedang dijalankan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi jabatan.
“Bagi memastikan penelitian dibuat secara menyeluruh dan berlandaskan undang-undang, semua maklumat, dokumen serta penjelasan yang dikemukakan oleh pihak-pihak berkaitan akan diteliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPPM menegaskan, setiap pertubuhan berdaftar wajib mematuhi Akta Pertubuhan 1966, peraturan berkaitan serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.
Katanya, penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut, JPPM akan terus bertindak secara profesional dan tanpa memihak kepada mana-mana pihak serta tidak mempunyai kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik,” katanya. – MalaysiaGazette
















