Salah sebuah rumah yang diserbu JIM Pulau Pinang menemukan kondom yang telah digunakan dalam bilik salah seorang wanita warga asing bersama seorang lelaki tempatan.

SEBERANG PERAI – Penduduk Flat Taman Teluk Indah di Perai di sini, menarik nafas lega susulan tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan kediaman berkenaan, malam tadi.

Rata-rata mereka mendakwa sebelum ini sering melihat lelaki berbeza keluar masuk ke kediaman yang dihuni wanita warga asing, sekali gus menimbulkan kebimbangan kemungkinan berlaku kegiatan tidak sihat di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Kumar berkata, dia yang sudah lama menetap di flat berkenaan sering melihat keadaan itu sejak kebelakangan ini.

“Selalunya warga asing akan menyewa secara berkumpulan, tetapi kalau satu rumah hanya didiami dua atau tiga orang, saya sebagai lelaki boleh agak apa yang mereka buat apabila melihat lelaki keluar masuk.

“Saya juga perasan cara pemakaian wanita berkenaan yang seksi dan mereka sering mengenakan solekan, selain kerap menerima kunjungan lelaki berbeza,” katanya ketika ditemui selepas operasi berkenaan.

Menurutnya, dia tidak pasti sama ada wanita terbabit mempunyai individu yang menguruskan kegiatan berkenaan atau menjalankannya sendiri.

Kumar berkata, dia menyokong operasi JIM kerana tidak mahu kawasan kediaman itu menjadi lokasi kegiatan tidak sihat.

“Saya boleh tarik nafas lega dengan operasi imigresen ini kerana flat kami sudah terkenal sebagai antara kawasan kediaman paling kotor. Saya tidak mahu ia digelar sebagai ‘flat pelacuran’ pula.

“Disebabkan sudah tidak selesa, keluarga saya juga bakal berpindah ke tempat lain dan rumah di sini akan disewakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nordin berkata, dia turut menarik nafas lega dengan operasi berkenaan kerana sebelum ini sering melihat lelaki berbeza keluar masuk ke kediaman wanita warga asing.

Katanya, tindakan JIM itu wajar bagi memastikan warga asing yang tinggal di kawasan berkenaan mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Saya memang suka JIM buat serbuan macam ini. Biar mereka tahu ada kesan kalau melanggar undang-undang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Sangka perompak, alasan warga asing enggan buka pintu ketika operasi JIM

Terdahulu media melaporkan operasi Penguatkuasaan Bersepadu JIM Pulau Pinang di 20 lokasi bermula 10 Ogos lalu menyaksikan seramai 71 individu diperiksa, dengan 24 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Operasi itu menyasarkan kawasan penempatan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran warga asing yang tinggi, dengan kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 49 tahun dan terdiri daripada 18 lelaki serta enam perempuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast