KUALA LUMPUR – Sebanyak 75 peratus atau 19 daripada 25 syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) telah dilaksanakan, manakala, baki enam syor sedang dalam proses pelaksanaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, baki syor berkenaan termasuk pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), pengukuhan kawal selia TH, penambahbaikan proses tatatertib serta dasar berkaitan deposit, bayaran haji dan bantuan kewangan haji.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius sebarang unsur salah laku dan penyelewengan yang dikenal pasti dalam laporan RCI, dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan serta tindakan penguatkuasaan.
“TH juga telah memberikan kerjasama penuh melalui enam laporan kepada PDRM dan enam laporan kepada SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, pasukan khas yang ditubuhkan SPRM dan PDRM selepas laporan RCI didedahkan telah memulakan siasatan dan membawa kepada tindakan penguatkuasaan termasuk penahanan beberapa individu berkaitan dakwaan suapan, salah guna kuasa dan pelanggaran tadbir urus.
Dalam pada itu, kerajaan sedang memperkukuh Akta Tabung Haji termasuk peruntukan berkaitan piawaian perakaunan dan penalti terhadap salah lapor penyata kewangan.
Katanya, sejak 2022, agihan keuntungan TH diumumkan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang telah diaudit manakala, pasukan petugas membabitkan TH, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sedang meneliti kerangka pengawasan pengurusan dana dan pelaburan TH.
Beliau berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan penubuhan pasukan petugas khas audit forensik, termasuk aspek peruntukan kewangan yang diperlukan.
Mengenai usaha memulihkan keyakinan rakyat, Zulkifli berkata, kepercayaan terhadap TH perlu dibina melalui tindakan, ketelusan, tadbir urus kukuh serta peningkatan tahap operasi dan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata, laporan tahunan dan penyata kewangan TH boleh diakses orang awam, selain diaudit Jabatan Audit Negara dan dibentangkan di Parlimen sebelum diterbitkan.
Mengenai penamatan kontrak bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dan bekas Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof pada 2021, beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Tiada alasan diberikan oleh menteri pada ketika itu,” katanya.
Berhubung agihan hibah bagi 2014 hingga 2017 pula, RCI mendapati, terdapat kelemahan dalam kaedah penilaian dan pelaporan kewangan termasuk penggunaan nilai aset boleh diperoleh semula (RAV), yang menyebabkan kedudukan kewangan TH kelihatan lebih baik daripada keadaan sebenar.
Zulkifli berkata, RCI turut mengenal pasti kelemahan dalam penilaian kedudukan kewangan yang berkaitan dengan pembayaran bonus sehingga 13 bulan.
Sementara itu, beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan lima surat amaran kepada Pengerusi TH dan menteri yang bertanggungjawab antara Ogos 2014 hingga September 2016.
Menurutnya, surat berkenaan menyentuh isu kedudukan kewangan, tahap rizab dan pengurusan kecairan TH.
Beliau berkata, kedudukan kewangan TH terus merosot sehingga defisit aset-liabiliti mencecah kira-kira RM10 bilion pada akhir 2018 dan memerlukan bantuan kerajaan bagi mengelakkan krisis kewangan lebih besar.
“Sekiranya amaran BNM diberikan perhatian sewajarnya, kerajaan tidak perlu menyelamatkan TH tetapi yang sebaliknya telah berlaku.
“Sidang Parlimen hari ini membuktikan bahawa amaran dan peringatan pihak berautoriti seperti BNM tidak diberi perhatian,” katanya.
Kerajaan, katanya, komited memastikan segala pengajaran daripada laporan RCI diterjemahkan kepada penambahbaikan tadbir urus, kawalan dalaman, pengurusan risiko dan ketelusan supaya kelemahan sama tidak berulang serta kepentingan pendeposit TH terus dilindungi. – MalaysiaGazette















