Choong Ah Cheng ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang penjaga kebun durian didenda keseluruhan RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membabitkan memiliki senjata tiruan dan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki, minggu lalu.

Tertuduh, Choong Ah Cheng, 57, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa tanpa sebab yang sah memiliki senjata tiruan iaitu selaras senapang angin jenama Hatsan AT44-10 QE bernombor siri 041521754 di dalam pondok miliknya di sebuah dusun durian di Bukit Gambir di sini, kira-kira jam 10 malam, 5 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 36 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan seorang lelaki berusia 42 tahun dengan mengancam hendak menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa di dusun durian yang sama, kira-kira jam 5 petang, 4 Ogos lalu.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Shariffah Farveen Syed Ibrahim yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah mempertimbangkan hukuman denda minimum.

Shariffah Farveen memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak perempuan selain bekerja sebagai penjaga kebun tanpa pendapatan tetap.

“Tertuduh juga menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan berkenaan,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nadratun Naim menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap tertuduh bagi pertuduhan memiliki senjata tiruan atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Manakala bagi pertuduhan ugutan jenayah, mahkamah menjatuhkan denda RM4,500 atau penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.

Difahamkan, ugutan itu dibuat tertuduh susulan berlaku perselisihan faham dengan mangsa berhubung isu laluan masuk ke kebun durian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast