KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 36 tahun yang disiasat berhubung kes penipuan duit kutu membabitkan kerugian kira-kira RM1.7 juta dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini.
Kes berkenaan mendapat perhatian selepas polis menerima 35 laporan daripada mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun yang mendakwa mengalami kerugian selepas menyertai kutu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim sebelum ini dilaporkan mengesahkan wanita terbabit akan berdepan pertuduhan berkaitan penipuan, manakala suaminya yang berusia 39 tahun akan dipanggil sebagai saksi.
Wanita berkenaan telah direman selama empat hari sejak Khamis lalu bagi membantu siasatan sebelum tempoh remannya disambung selama dua hari lagi.
Dia disyaki terbabit dalam penipuan berkenaan susulan laporan yang dibuat mangsa, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.7 juta.
Kes yang berlaku di Jitra, Kedah itu sebelum ini turut mendapat perhatian susulan kehilangan wanita terbabit bersama suami dan anak lelaki mereka berusia sembilan tahun sejak 20 Julai lalu.
Ketiga-tiganya dilaporkan keluar dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam sebelum gagal dikesan dan tidak dapat dihubungi ahli keluarga.
Bimbang dengan keadaan mereka, bapa wanita terbabit yang berusia 62 tahun kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas pelbagai usaha menghubungi anak perempuan, menantu serta cucunya tidak berhasil.
Pasangan berkenaan bagaimanapun kemudian tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada awal pagi Khamis lalu.
Polis selepas itu mendapatkan perintah reman terhadap wanita terbabit bagi membolehkan siasatan berhubung dakwaan penipuan diteruskan.
Sementara itu, suaminya tidak berdepan pertuduhan setakat ini dan akan dipanggil sebagai saksi dalam kes berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu. -MalaysiaGazette
















