SHAH ALAM – Hanya 27.3 peratus anak syarikat milik Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan entiti berkaitan Kerajaan Negeri Selangor menyatakan kesediaan untuk melaksanakan gaji wajar minimum RM3,100 sebulan.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman berkata, angka itu berdasarkan maklum balas daripada anak syarikat dan entiti berkaitan kerajaan negeri berhubung cadangan tersebut.
Beliau berkata, bagaimanapun, 59.1 peratus daripada entiti terbabit masih belum bersedia untuk melaksanakan gaji wajar minimum RM3,100, manakala 13.6 peratus lagi sedang menilai keupayaan untuk melaksanakannya secara berperingkat atau masih tertakluk kepada kelulusan lanjut.
“Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan pekerja menerima gaji adil, kompetitif dan selaras dengan peningkatan kos sara hidup.
“Pelaksanaan dasar-dasar gaji ditetapkan di peringkat nasional serta amalan penggajian mampan dalam agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri boleh direalisasikan kelak,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) mengenai dasar gaji wajar negeri serta kesediaan anak syarikat kerajaan negeri dan GLC Selangor melaksanakan gaji minimum RM3,100.
Menurut Papparaidu, kerajaan negeri telah menyelaraskan pelaksanaan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan, selaras dengan dasar gaji minimum yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.
Dalam masa sama, katanya, Selangor turut menjadikan kerangka nasional seperti Dasar Gaji Progresif serta aspirasi pelaksanaan gaji wajar minimum RM3,100 oleh GLIC dan GLC sebagai penanda aras dalam usaha memperkukuh kesejahteraan pekerja.
“Kerajaan Negeri akan terus meneliti pelaksanaan inisiatif ini secara menyeluruh dengan mengambil kira kebajikan pekerja, daya saing organisasi dan kemampanan kewangan anak-anak syarikat,” katanya.
Beliau berkata, sebarang pelaksanaan gaji wajar lebih tinggi perlu dibuat secara bertanggungjawab, berhemat dan mampan supaya tidak menjejaskan kedudukan kewangan serta daya saing syarikat berkaitan kerajaan negeri.
“Walaupun kerajaan negeri mengiktiraf kepentingan gaji lebih tinggi bagi menangani tekanan kos sara hidup, majoriti entiti berkaitan kerajaan negeri masih belum berada pada tahap kesediaan untuk melaksanakan gaji RM3,100,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















