SHAH ALAM – Pas menolak politik perkauman, agama dan identiti yang sempit, selain menyifatkan politik yang menggunakan kuasa untuk menzalimi atau menganaktirikan kaum lain sebagai bentuk politik perkauman yang tidak boleh diterima.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah berkata, Pas mempunyai pengalaman lebih lima dekad dalam politik dan pentadbiran negeri, termasuk pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor serta mentadbir beberapa negeri.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, Pas tidak pernah menjadikan kaum atau agama lain sebagai mangsa pentadbirannya.
“Kami menolak semua bentuk politik perkauman sempit. Saya berdiri di sini untuk menyatakan kita menolak politik sempit, politik agama sempit, politik bangsa sempit dan politik perkauman sempit,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Mohd Shafie turut menegaskan, istilah politik perkauman sempit perlu difahami secara jelas, khususnya apabila sesuatu kaum yang berkuasa menggunakan kuasa tersebut untuk menindas atau menganaktirikan kaum lain.
“Bila satu bangsa itu berkuasa, dia melakukan kezaliman kepada bangsa lain, menganaktirikan bangsa lain, itu politik perkauman sempit,” katanya.
Mohd Shafie juga mendakwa, sepanjang Pas mentadbir negeri, tidak berlaku penindasan terhadap masyarakat bukan Islam seperti yang sering digambarkan oleh sesetengah pihak.
Beliau mendakwa, tiada penganut bukan Islam menjadi mangsa kekerasan, rumah ibadat mereka dirobohkan atau sekolah Tamil ditutup oleh pentadbiran Pas.
“Tidak ada sehelai bulu roma pun orang bukan Islam gugur ke bumi. Tidak ada setitik pun darah orang bukan Islam gugur ke bumi kerana pimpinan Pas.
“Tidak ada sebuah rumah ibadat pun yang diruntuhkan oleh pimpinan Pas,” katanya.
Beliau turut mengambil Kelantan sebagai contoh kewujudan patung Buddha bersaiz besar serta pengiktirafan tanah bagi pengurusan sebuah tokong Buddha di negeri berkenaan membuktikan Pas tidak mengamalkan politik perkauman sempit.
“Malah tiada sekolah Tamil ditutup sepanjang Pas terlibat dalam pentadbiran negeri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Shafie mengingatkan semua Ahli Dewan Negeri supaya tidak terus membawa sentimen dan pertikaian kempen pilihan raya ke dalam Dewan Negeri.
Katanya, keputusan pilihan raya perlu diterima sebagai mandat rakyat, manakala ahli politik sewajarnya bergerak ke hadapan untuk memperbaiki kelemahan masing-masing.
“Biarlah yang lepas itu lepas. Biar di medan kempen. Jangan terbawa-bawa isu di luar ketika kempen masuk ke Dewan.
“Rakyat bukan bodoh. Mereka cerdik membuat pilihan dan kita sebagai ahli politik yang bergiat dalam politik ini, terimalah seadanya dan move on,” katanya.
Mohd Shafie kemudiannya membuat satu cabaran politik yang lebih terbuka apabila menyarankan semua pihak bersedia kembali ke “gelanggang kempen” apabila tiba masa pilihan raya akan datang.
Beliau menegaskan, jika semua pihak mahu terus berpolitik, biarlah rakyat menjadi hakim kepada prestasi masing-masing pada pilihan raya.
“Kalau kita masih bertenaga nak berkempen lagi, saya menyarankan kepada ahli dewan dan kawan-kawan, bisik ke adindaku Menteri Besar.
“Sampai tempoh tiga tahun, bubarkan Dewan Negeri Selangor, kita bersilat di gelanggang, kempen sama-sama, biar rakyat menilai nak siapa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















