Naazron Abdul Yusof.

KUALA LUMPUR  – Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 38 tahun dan merampas lima motosikal yang dilaporkan hilang dalam kes kecurian motosikal di sekitar Hulu Langat, Batu 9 Cheras dan Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pada 11 Ogos lalu berhubung kecurian sebuah motosikal Yamaha 135LC di kawasan parkir sebuah premis makanan di Jalan Lagenda Suria 1, Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, pengadu mendapati motosikal miliknya dilarikan seorang lelaki sebelum bertindak mengejar suspek dengan bantuan orang awam.

Suspek kemudian berjaya ditahan orang awam dan kejadian berkenaan turut tular di media sosial Threads.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menjalankan siasatan lanjut dan berjaya menahan dua lagi lelaki warga tempatan.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada tiga suspek positif methamphetamine, manakala dua lagi negatif.

Siasatan lanjut turut membawa kepada rampasan lima motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Hulu Langat, Batu 9 Cheras dan Wangsa Maju.

Permohonan reman terhadap kesemua suspek telah dibenarkan selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Suspek yang positif dadah turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menggunakan dadah berbahaya. – MalaysiaGazette

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan kunci pada motosikal walaupun untuk tempoh singkat, selain memastikan kenderaan dikunci dengan sempurna dan menggunakan alat keselamatan tambahan seperti kunci cakera atau kunci penggera bagi mengurangkan risiko kecurian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast