JOHOR BAHRU – Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum mengharumkan nama Johor dan Malaysia apabila berjaya meraih tempat pertama dalam Play-Off Qualifier Round, Hippo English The Contest 2026 di Doha, Qatar, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, susulan kejayaan tersebut Wan Harriz layak mara ke World Final Round yang akan berlangsung di Spoleto, Itali pada Oktober depan.
Beliau berkata, Hippo English The Contest 2026 merupakan pertandingan Bahasa Inggeris peringkat antarabangsa yang membabitkan pelajar berusia enam hingga 19 tahun dengan penyertaan lebih 90,000 orang dari lebih 70 buah negara.
Katanya, Wan Harriz yang merupakan murid Kelas 4 Sapphire dari Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) SK Tasek Utara itu mengungguli pertandingan tersebut selepas melepasi penilaian kemahiran membaca, menulis, mendengar, bertutur serta tatabahasa.

“Pertandingan ini juga selaras dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).
“Untuk makluman, tempat kedua dimenangi oleh murid dari Arab Saudi, manakala tempat ketiga menjadi milik peserta dari Kyrgyzstan.
“Sebanyak 14 peserta telah bertanding dalam Pusingan Kelayakan, termasuk dua peserta yang mewakili Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi peserta Malaysia, Eshant Ashvik Shashidara dari SK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, menduduki tempat kelima dalam pusingan penentuan kelayakan (play-off) dan tidak mara ke Pusingan Akhir Dunia.

Pencapaian itu katanya, sangat selaras dengan Teras 1 SRBJ: Penguasaan Bahasa Inggeris serta memperkukuh aspirasi SRBJ untuk melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik.
Malah katanya, memiliki keyakinan diri, kemahiran komunikasi yang mantap, dan keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Tidak dilupakan, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru-guru dan pihak sekolah yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan kepada Wan Harriz.
“Insya-Allah, saya mewakili Kerajaan Negeri Johor akan sentiasa memberikan sokongan kepada Wan Harriz serta mendoakan agar terus cemerlang dan berjaya membawa nama Johor dan Malaysia lebih jauh di pentas dunia,” katanya.
Pada 27 Julai lalu, portal ini melaporkan murid berkenaan bakal menyertai pertandingan bahasa Inggeris, Hippo English Without Borders di Doha, Qatar pada 2 hingga 9 Ogos dan dianggarkan menelan belanja RM26,000.

Pada awalnya, bapanya, Wan Abdul Qayyum Wan Mahadi, 34, yang bekerja sebagai pemandu bas hampir membatalkan hasrat menghantar Wan Harriz kerana memikirkan kos yang tinggi.
Mereka kemudian menghasilkan video kreatif yang dirakam dengan kebenaran pihak sekolah sebelum dimuat naik ke media sosial.
Pihak sekolah turut membantu membuat hebahan supaya mana-mana individu atau syarikat yang ingin menyumbang dapat membantu merealisasikan impian Wan Harriz. – MalaysiaGazette
















