Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan ucapan penggulungan Rancangan Selangor Kedua (RS2) pada sidang Dewan Negeri Selangor, di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memberi amaran kepada rakyat agar tidak terperangkap dengan politik perkauman, memecahbelahkan masyarakat dan budaya far-right serta fasis yang semakin berlegar di dunia luar.

Amirudin menegaskan, politik yang memainkan sentimen kaum hanya akan menyebabkan masyarakat saling mencurigai dan akhirnya mengasingkan diri.

Menurutnya, semua kaum di Selangor perlu diberikan ruang untuk membina identiti bersama sebagai rakyat negeri berkenaan.

“Kita mahu anak-anak Selangor sama ada anak orang Melayu, orang India mahupun orang Cina dapat duduk bersama-sama, belajar bersama-sama, beriadah bersama-sama.

“Bersukan bersama-sama, bekerja bersama-sama untuk membangunkan masa depan negeri ini,” katanya berucap ketika menggulung Rancangan Selangor kedua (RS2) pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin juga berkata, rakyat diingatkan tidak terbawa-bawa dengan budaya fasis dan far-right yang menjadi motif pemecah belah seperti mana yang dibawa oleh Donald Trump di Amerika Syarikat.

“Budaya itu tidak mampu membina masyarakat sebaliknya berpotensi meruntuhkan hubungan antara kaum dan komuniti,” katanya.

Selain itu, Amirudin turut memberi amaran kepada semua parti politik supaya tidak sengaja membakar sentimen kaum semata-mata untuk mengukuhkan sokongan asas masing-masing.

“Semua pihak tidak harus menebalkan politik perkauman dan membakar base vote masing-masing, baik orang Melayu, orang Cina, mahupun orang India,” katanya.

Malah beliau menegaskan, terdapat perbezaan antara komitmen yang diucapkan di dalam dewan dengan tindakan politik yang berlaku di luar dewan.

“Jangan kita memberikan komitmen tersebut di dalam dewan yang mulia ini tetapi membiarkan semangat yang membakar sentimen bergerak di bawah secara senyap.

“Sebaliknya, kita harus mempunyai political will, iltizam, semangat untuk berpegang bahawa tiada tempat untuk politik sempit di Selangor yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pemimpin supaya tidak play to the gallery dengan mengejar populariti melalui sentimen perkauman.

“Sebaliknya, pemimpin politik perlu mempunyai iltizam untuk memastikan Selangor tidak tenggelam dalam politik sempit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast