Chin Teck (lapan dari kiri) bergambar bersama-sama kakitangan dan petugas kesihatan selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tangkak, Tangkak, hari ini

TANGKAK – Hospital Tangkak bakal mempunyai doktor pakar untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan kesihatannya bagi membantu doktor sedia ada membuat penilaian lebih tepat terhadap kes seseorang pesakit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Datuk Haw Chin Teck berkata, kehadiran doktor pakar itu merupakan satu perkembangan baik kerana dapat menilai sama ada seseorang pesakit itu perlu dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar atau boleh dirawat di Hospital Tangkak.

“Sebelum ini terdapat kes-kes tertentu yang memerlukan pesakit dirujuk atau dihantar ke HPSF Muar bagi mendapatkan rawatan lebih terperinci.

“Lawatan ke Hospital Tangkak ini bertujuan mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keperluan semasa hospital termasuk perkhidmatan perubatan, tenaga kerja, peralatan dan kemudahan asas,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Tangkak di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Hospital Tangkak, Dr Zarina Saibon dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Khairin Nisa Ismail.

Beliau berkata, lawatan itu penting bagi memahami lebih terperinci mengenai cabaran yang dihadapi pihak hospital serta keperluan kesihatan penduduk Tangkak masa kini dan akan datang.

”Daripada pertemuan dan perbincangan bersama-sama pihak hospital, antara faktor yang diperlukan ialah doktor pakar, tenaga kerja, peralatan perubatan dan kemudahan asas,” katanya.

Difahamkan mulai 17 Ogos ini, Hospital Tangkak akan mempunyai khidmat doktor pakar bagi meningkatkan perkhidmatan pakar rujuk bagi kes-kes pesakit yang dihantar ke hospital itu.

Hospital Tangkak masih berdepan dengan beberapa kekangan terutama dari segi kapasiti wad, peralatan perubatan, ambulans dan kemudahan lain.

Menurutnya, maklumat dan data yang lengkap daripada pihak hospital mengenai keperluan itu penting sebelum perkara tersebut dibawa ke peringkat kerajaan Persekutuan.

”Selepas mendapat maklumat lengkap, saya akan bawa perkara ini ke peringkat kerajaan Persekutuan termasuk mengemukakan permohonan kepada Timbalan Perdana Menteri bagi dipertimbangkan sebuah hospital baharu yang lebih lengkap atau pembangunan blok perubatan.

”Cadangan ini tidak bermakna Hospital Tangkak perlu dipindahkan ke lokasi lain kerana kawasan hospital sedia ada masih mempunyai ruang berkeluasan 24 ekar bagi tujuan pembangunan fasiliti baharu,” jelasnya.

Beliau menegaskan, isu kesihatan tidak boleh dilihat dari sudut tenaga pakar dan petugas sahaja tetapi memerlukan kemudahan, peralatan dan infrastruktur yang mampu menyokong penyampaian perkhidmatan perubatan lebih berkesan.

Tambahnya, kesihatan dan keselamatan rakyat akan diberikan keutamaan dengan rawatan daripada doktor dan petugas kesihatan yang berkualiti namun ia juga memerlukan kemudahan dan peralatan mencukupi bagi memberikan rawatan terbaik kepada masyarakat.

”Pilihan sama ada untuk membina hospital baharu, blok perubatan atau menaik taraf hospital sedia ada kita serahkan kepada Kementerian Kesihatan membuat penilaian berdasarkan keperluan dan aspek teknikal,” katanya.

Chin Teck berjanji akan terus membawakan suara penduduk Tangkak dan berusaha mendapatkan kemudahan kesihatan yang lengkap, moden dan mampu memenuhi keperluan kesihatan penduduk bukan sahaja hari ini malah masa akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast