AYER KEROH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak harus membiarkan semangat perjuangan reformasi luntur atau terhenti hanya kerana berdepan perjalanan yang sukar sebaliknya perlu memastikan agenda itu terus digerakkan bersama rakyat.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, generasi muda hari ini menerima obor perjuangan daripada generasi terdahulu dan bertanggungjawab memastikan ia terus menyala.
“Kita adalah generasi yang menerima obor daripada mereka yang datang sebelum kita. Jadi, jangan biarkan obor itu padam di tangan kita.
“Bawalah politik yang tidak menakutkan manusia tetapi memberikan keyakinan. Bawalah Islam yang membawa rahmat. Bawalah Melayu yang yakin kepada dirinya dan bawalah Malaysia yang adil kepada semua,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK di MITC, di sini malam ini.
Beliau berkata, perjuangan reformasi tidak seharusnya sekadar menjadi laungan politik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan sehingga manfaatnya dapat dirasai seluruh rakyat.
Katanya, AMK perlu membawa agenda itu ke segenap lapisan masyarakat termasuk di kampung, universiti, tempat kerja, kilang, ladang, bandar serta Sabah dan Sarawak.
“Kita tidak datang ke sini untuk menjadi generasi yang hanya bercerita tentang keberanian orang sebelum kita. Kita datang untuk membuktikan keberanian generasi kita sendiri.
“Kita tidak datang untuk menjadi penonton kepada sejarah. Kita datang untuk menulis bab yang seterusnya,” katanya.
Kamil berkata, AMK tidak boleh hanya menunggu perubahan berlaku, sebaliknya perlu tampil memimpin perubahan berlandaskan ilmu, amanah dan keberanian.
“Kita tidak menunggu perubahan, kita akan memimpin. Dengan ilmu sebagai panduan dengan amanah sebagai pegangan, dengan rakyat sebagai kekuatan dan tujuan dengan keberanian sebagai kekuatan, Angkatan Muda bangkit!” katanya.
Beliau turut menyeru anggota AMK supaya memperkukuh organisasi dan segera turun ke lapangan bagi menggerakkan agenda reformasi selain tidak membiarkan semangat perjuangan itu luntur.
Dalam pada itu, Kamil mencadangkan kerajaan mempertimbangkan penghapusan atau penyelesaian hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara berfasa bagi peminjam dalam kategori miskin, miskin tegar dan benar-benar tidak berkemampuan berdasarkan data.
Katanya, peminjam yang berkemampuan perlu terus melunaskan tanggungjawab manakala bantuan bersasar wajar diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai keupayaan untuk membayar.
“Kerana kemiskinan ibu bapa tidak boleh menjadi hukuman kepada masa depan seorang anak. Pendidikan mesti menjadi jalan keluar kepada kemiskinan, bukan jalan masuk kepada hutang sepanjang kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette
















