AYER KEROH – DAP berkemungkinan kehilangan peluang untuk menyalurkan bantuan dan memenuhi permintaan penyokongnya sekiranya parti itu mengambil keputusan keluar daripada Kabinet Kerajaan Madani.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Wong Chin Huat berkata, tanpa kuasa dan suara dalam Kabinet, DAP tidak lagi mempunyai ruang yang sama untuk menyalurkan bantuan serta memberi manfaat kepada pengundinya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Bagaimanapun, katanya, dalam kalangan penyokong tegar DAP, prinsip dan pendirian parti lebih penting berbanding kuasa serta imbuhan sebagai menteri.
“Apa yang akan melemahkan DAP dengan jelas ialah jika UMNO turut bawa 30 kerusi BN keluar Kerajaan Madani dan memaksa PRU-16 diawalkan, atau jika Pas tiba-tiba masuk Kabinet untuk mengisi kekosongan DAP atas dalil perpaduan Melayu.
“DAP akan disalahkan dan secara bersihnya (in net term) kehilangan lebih undi,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.
Chin Huat berkata, jika DAP keluar Kabinet tetapi kekal sebagai penyokong kerajaan dari barisan belakang (backbench), tindakan itu boleh dilihat penyokong tegar sebagai pendirian berprinsip dan tidak berkompromi demi kuasa atau imbuhan sebagai menteri.
Bagaimanapun, katanya, sebahagian pengundi lain mungkin melihat tindakan berkenaan sebagai tanda DAP kurang sikap setiakawan kerana menjauhkan diri daripada Pakatan Harapan (PH) ketika jenama gabungan itu semakin kurang popular.
“Apabila kedua-dua ini dijumlahkan, secara bersihnya (in net term) DAP mungkin mendapat lebih sedikit undi.
“Akan tetapi, jika UMNO turut keluar kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubar Parlimen, maka undi yang DAP hilang mungkin melebihi undi yang ia dapat kerana ramai akan salahkan DAP atas kejatuhan Kerajaan Madani,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan DAP tidak akan mengambil keputusan keluar daripada Kerajaan Madani, namun mengakui kejutan masih boleh berlaku kerana undi kira-kira 4,000 perwakilan ketika Persidangan Kebangsaan DAP adalah rahsia.
Persidangan Parti DAP 2026 pada Ahad ini bakal menentukan sama ada parti itu akan kekal atau keluar daripada Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, usul berhubung perkara itu akan dibentangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada persidangan berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau berkata, sebanyak 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan yang layak menghadiri persidangan itu akan membuat keputusan mengenai usul berkenaan menerusi undi. – MalaysiaGazette
















