Menteri Pengangkutan, Anthone Loke Siew Fook hadir merasmikan Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT) dan Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan FFR di Stesen ECRL Gombak, di sini hari ini.

GOMBAK – Kementerian Pengangkutan (MOT) mencabar Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Communication Construction Company Ltd (CCCC) agar Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibuka kepada pengguna seawal Disember ini, lebih awal berbanding sasaran asal pada Januari 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthone Loke Siew Fook berkata, kementerian itu bersedia membantu mempercepatkan proses kelulusan serta ujian Fault-Free Run (FFR) tanpa menjejaskan aspek keselamatan, bagi membolehkan operasi ECRL dimulakan lebih awal.

“Kita akan mempermudahkan kerana kita yakin semua tren ini telah dibuat ujian dengan begitu banyak dan komprehensif di negara China sebelum ia dihantar ke Malaysia.

“Ketika ini sebanyak lima set tren ECRL telah tiba di Malaysia, manakala selebihnya akan tiba dalam beberapa bulan dengan semua tren sudah menjalani pelbagai ujian di China.

“Jadi untuk FFR dan proses pentadbiran serta kelulusan terakhir adalah daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan MOT akan berbincang supaya proses ini dapat permudahkan.

“Sekiranya ya, saya ingin lontarkan satu cabaran kepada pihak MRL dan CCCC iaitu perkhidmatan ECRL ini dibuka lebih awal daripada yang dijadualkan,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthone Loke Siew Fook berucap pada Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT) dan Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan FFR di Stesen ECRL Gombak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Peluncuran Comprehensive Inspection Train (CIT) dan Pengenalan Konsep Reka Bentuk Stesen-Stesen Utama ECRL serta Permulaan Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan FFR di Stesen ECRL Gombak, di sini hari ini.

Tambah Anthony, cadangan operasi ECRL dimulakan pada awal Disember ini adalah bersempena cuti hujung tahun bagi memberi peluang kepada pelajar dan warga Pantai Timur menikmati kemudahan pengangkutan berkenaan.

“Jadi saya harap kita dapat memberikan kemudahan dan pemudah cara untuk memastikan segala proses itu dapat diringkaskan serta dipermudahkan tanpa berkompromi aspek keselamatan,” jelasnya.

Mengulas lanjut Anthony berkata, proses FFR lazimnya akan mengambil masa lama antara dua hingga tiga bulan, namun MOT akan meneliti bagaimana tempoh berkenaan mampu dipendekkan berdasarkan perbandingan dengan negara lain.

Beliau berkata, ujian sistem integerasi bagi menilai tahap sistem infrastruktur kereta api secara langsung dan FFR untuk menilai prestasi tren EMU akan dilaksanakan bermula pada Ogos dan September ini.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast