Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, kerajaan menawarkan penyelesaian kepada Semantan Estate (1952) Sdn Bhd (Semantan Estate) berhubung jumlah pampasan yang perlu dibayar susulan isu pengambilan tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu, dikenali sebagai Duta Enclave.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan memaklumkan, pihaknya baru menerima arahan semalam untuk mengemukakan tawaran penyelesaian kepada Semantan Estate.

Menurut beliau, cadangan mengenainya perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan terlebih dahulu sebelum dimajukan kepada syarikat berkenaan.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran taksiran ganti rugi susulan arahan Mahkamah Rayuan tahun lalu bahawa faedah dibayar pada kadar enam peratus dari 1956 hingga tarikh pampasan dibayar.

Menurut Nurhafizza, kerajaan berhasrat untuk menyelesaikan pertikaian tersebut secepat mungkin, namun pada masa yang sama perlu berlaku adil kepada Semantan Estate (plaintif).

“Saya pasti peguam memerlukan sedikit masa untuk berbincang dengan anak guam (plaintif) sebelum dapat memutuskan sama ada perkara ini boleh diselesaikan secara baik,” katanya.

Sehubungan itu, peguam Ira Biswas memohon penangguhan prosiding taksiran ganti rugi bagi membolehkan cadangan penyelesaian itu dibincang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Hakim Roslan Mat Nor menolak permohonan penangguhan itu atas alasan mahkamah tidak boleh sewenang-wenangnya membenarkan penangguhan perbicaraan dan perlu menggunakan budi bicaranya dalam menentukan sama ada untuk meluluskan permohonan tersebut.

Beliau kemudian mengarahkan perbicaraan diteruskan seperti yang dijadualkan dengan mendengar keterangan juruukur bertauliah Foo Gee Jen selaku saksi plaintif.

Terdahulu, Hakim Roslan berkata, mahkamah perlu mempertimbang sama ada penangguhan wajar diberikan dengan mengambil kira budi bicara mahkamah, kepentingan keadilan serta faktor-faktor lain termasuk kos perbicaraan dan potensi pembaziran masa jika penyelesaian dicapai di luar mahkamah.

Menurut beliau, penangguhan pada saat-saat akhir tidak dapat dibenarkan kerana mahkamah sudah menetapkan tarikh perbicaraan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Ogos ini bagi menyambung keterangan saksi.

Pada 13 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Semantan Estate untuk mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan tidak perlu mendaftarkan tanah seluas 263.272 ekar di Duta Enclave atas nama syarikat berkenaan.

Justeru, keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada kerajaan kekal berkuat kuasa.

Kes itu kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran bagi pentaksiran ganti rugi.

Pada 24 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Semantan Estate tidak berhak ke atas hak milik tanah berkenaan namun syarikat itu layak menerima pampasan sewajarnya yang akan ditaksir berdasarkan nilai tanah pada 1956, iaitu ketika ia diambil alih oleh kerajaan.

Tanah yang dipertikai itu terletak di kawasan utama Jalan Duta, dikenali sebagai Duta Enclave yang menempatkan bangunan kerajaan termasuk Stadium Hoki Nasional, Institut Integriti Malaysia, Arkib Negara, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Akademi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kes pertikaian membabitkan Semantan Estate bermula pada 2003 apabila syarikat berkenaan menyaman kerajaan dan mendakwa tanah itu diambil secara tidak sah.

Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya membuat keputusan yang memihak kepada Semantan Estate dan memutuskan bahawa kerajaan telah mengambil alih tanah itu secara tidak sah serta syarikat berkenaan mempunyai kepentingan benefisial terhadapnya.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan namun gagal.

Pada Februari 2017, Semantan Estate memfailkan saman terhadap Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan supaya menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009 itu.

Mahkamah Tinggi pada Ogos 2024 mengarahkan Pendaftar Hak Milik Tanah Wilayah Persekutuan untuk memindahkan hak milik tanah terbabit dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penghakiman namun keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast