KUALA LUMPUR – Perwakilan DAP perlu diberi ruang untuk menilai semula keputusan kekal dalam kerajaan sekiranya berlaku perkembangan pada masa depan yang boleh menjejaskan kepentingan parti, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ramkarpal Singh.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, perkara tersebut penting meskipun perwakilan pada Konvensyen DAP Ahad ini memilih untuk terus berada dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa.
Menurutnya, keputusan untuk kekal dalam kerajaan tidak seharusnya dianggap sebagai mandat tanpa syarat sehingga parti tidak lagi mempunyai pilihan sekiranya berlaku sesuatu yang bertentangan dengan pendirian atau kepentingannya.
“Perlu dijelaskan bahawa perwakilan bebas untuk menilai semula keputusan kekal dalam kerajaan sekiranya terdapat alasan kukuh untuk berbuat demikian pada masa depan.
“Ini penting kerana mungkin timbul tanggapan bahawa undi untuk kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen bermaksud parti perlu terus kekal tanpa mengira apa juga yang berlaku selepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal berkata, antara keadaan yang boleh menjadi pertimbangan adalah sekiranya UMNO berkeras mahu mendapatkan pengampunan dan seterusnya pembebasan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang telah disabitkan kesalahan.
Menurut beliau, perwakilan perlu diberikan kebebasan untuk menentukan sama ada perkembangan sedemikian merupakan ‘garis merah’ yang boleh menyebabkan kedudukan DAP dalam kerajaan dinilai semula.
“Persoalan sama ada perkara itu melangkaui ‘garis merah’ perlu terbuka untuk dipertimbangkan oleh perwakilan. Mereka juga seharusnya bebas memilih untuk meninggalkan kerajaan dalam keadaan sedemikian, walaupun mengundi untuk kekal dalam kerajaan Ahad ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ramkarpal berpandangan, perlu ada unsur fleksibiliti dalam keputusan yang bakal dibuat pada konvensyen berkenaan termasuk kemungkinan mewujudkan apa yang disifatkan sebagai ‘klausa keluar’.
Katanya, sama ada mekanisme itu secara rasmi dinamakan ‘klausa keluar’ atau sebaliknya, ruang berkenaan adalah demi kepentingan parti,” katanya.
Dalam pada itu, Ramkarpal menyifatkan Konvensyen DAP pada Ahad ini sebagai bersejarah kerana keputusan perwakilan akan menentukan hala tuju parti sekurang-kurangnya bagi baki penggal Parlimen semasa.
Beliau turut memuji Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kerana mengambil langkah menerangkan kepada perwakilan mengenai baik buruk untuk terus kekal atau tidak dalam kerajaan dengan bersandarkan analisis bebas serta data. – MalaysiaGazette
















