KUALA LUMPUR – Sebanyak 96 kawasan di daerah Sepang akan ditutup bagi acara Sukan Berbasikal Lebuhraya Sukma Selangor XXIII 2026 yang disertai seramai 142 peserta yang berlangsung dari 16 Ogos hingga 19 Ogos ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, penutupan serta lencongan jalan itu akan dilakukan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPS).
Katanya, kesemua jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari secara berperingkat di dalam daerah Sepang.
“Penutupan jalan ini terbahagi kepada empat zon iaitu iaitu Zon A di Jalan Pantai Sepang Putra-Sempadan Tumbuk, Zon B (Jalan Dengkil-Jenderam Hulu), Zon C (Jalan Jenderam-Salak) dan Zon D (Jalan Salak Sepang-Sg. Pelek).
“Pada 16, 17 dan 19 Ogos antara jalan yang akan ditutup melibatkan Persiaran Pantai Sepang Putra, Jalan Kampung Bagan Lalang, Jalan Bukit Bangkong – Tanjung Rhu dan Jalan Tumbuk Sempadan.
“Pada 18 Ogos, penutupan melibatkan 18 laluan iaitu Persiaran Pantai Sepang Putra, Jalan Banting-Semenyih (hala Dengkil), Lampu Isyarat Pekan Dengkil (Balai Polis Dengkil), Lampu Isyarat Simpang Empat Dengkil (hala Jenderam).
“Turut terlibat Jalan Jenderam Hilir (Shell Jenderam), Jalan Jenderam-Salak, Simpang Taman Mawar-BBST, Jalan Bandar Baru Salak Tinggi, Jalan Salak Tinggi (Medan 88) dan Jalan Kompleks Kerajaan Daerah Sepang.
“Selain itu, jalan Pekan Salak-Lembah Paya, lampu Isyarat Kuarters KLIA, Jalan Sepang Lama, Jalan Sg. Pelek, Persiaran Pantai Sepang Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sepanjang acara ini berlangsung, beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang, penguat kuasa PBT dan bantuan sumber manusia trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor akan menjaga keselamatan serta kawalan lalu lintas.
“Ia melibatkan persimpangan jalan, persimpangan lampu isyarat, membuat rondaan serta memantau sepanjang kawasan yang terlibat acara ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terkawal.
“Orang ramai di kawasan sekitar lokasi dan pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan sebelum acara ini bermula dan penutupan jalan dibuat pada tarikh dinyatakan atau mencari jalan alternatf bagi mengelak kesesakkan lalu lintas,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















