Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) dinobatkan sebagai Koperasi Terbaik Negeri Pahang 2026 pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Pahang (MAGKP) 2026.

KUANTAN – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) dinobatkan sebagai Koperasi Terbaik Negeri Pahang 2026 pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Pahang (MAGKP) 2026, malam tadi.

KOSMA menduduki tempat pertama, diikuti Koperasi Serbaguna Dara Berhad di tempat kedua dan Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad di tempat ketiga.

Anugerah tersebut disampaikan pada majlis yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, anugerah tersebut sebagai pengiktirafan terhadap prestasi serta sumbangan koperasi dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi negeri.

Katanya, pengiktirafan berkenaan turut mencerminkan perkembangan positif gerakan koperasi Pahang yang kini mempunyai 1,211 koperasi berdaftar dengan 314,537 anggota.

Pada tahun lalu, ujarnya, gerakan koperasi negeri merekodkan perolehan sebanyak RM1.13 bilion, meningkat 15 peratus berbanding 2024, manakala jumlah aset keseluruhan melebihi RM1.73 bilion.

“Sebanyak 502 koperasi turut mengagihkan dividen berjumlah RM41 juta kepada anggota masing-masing pada tahun lalu,” katanya.

Wan Rosdy berkata, pencapaian berkenaan membuktikan gerakan koperasi semakin berkembang sebagai antara kekuatan ekonomi penting negeri menerusi penglibatan dalam pelbagai sektor termasuk perladangan, pertanian, perkhidmatan dan peruncitan.

Beliau pada masa sama menyeru koperasi di Pahang, termasuk KOSMA, supaya terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan integriti dan mengamalkan pengurusan profesional bagi memastikan prestasi yang dicapai dapat dikekalkan.

“Kepada koperasi yang menerima pengiktirafan, teruskan usaha dalam memartabatkan gerakan koperasi agar dapat memberikan inspirasi kepada koperasi-koperasi lain.

“Kepada koperasi yang masih belum berjaya, jadikanlah malam ini sebagai satu penanda aras dan motivasi untuk terus bangkit meletakkan koperasi anda sebaris dengan koperasi terbaik pada masa hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak sembilan koperasi Pahang turut disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026, sekali gus membuktikan kemampuan gerakan koperasi negeri untuk bersaing di peringkat kebangsaan.

Kerajaan negeri juga meluluskan RM600,000 tahun ini bagi memperkasakan ekonomi ummah menerusi koperasi kariah masjid yang diuruskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Pahang.

Pengiktirafan terhadap KOSMA diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada koperasi berkenaan untuk terus memperluas aktiviti perniagaan, meneroka peluang baharu serta memberi manfaat yang lebih besar kepada anggota dan masyarakat.

Majlis MAGKP 2026 yang memasuki tahun ketiga penganjurannya turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah lain termasuk Anugerah Koperasi Felda Terbaik, Anugerah Koperasi Harapan dan Anugerah Koperasi Sekolah Terbaik, selain penyerahan cek cura Geran Bantuan Koperasi dan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast