AYER KEROH – Srikandi PKR perlu berani bermuhasabah, mengakui kelemahan dan memperbaiki kekurangan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebelum bangkit semula dengan lebih kuat menghadapi cabaran politik akan datang.
Ketua Srikandi PKR, Nurhidayah Che Rose berkata, kekalahan dalam pilihan raya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menuding jari sebaliknya perlu menjadi ruang untuk melihat kelemahan sendiri dan menentukan perkara yang perlu dilakukan secara berbeza selepas ini.
Menurut beliau, aspek yang perlu diberi perhatian termasuk kesiapsiagaan jentera, komunikasi, kekuatan organisasi serta persediaan calon.
“Dalam politik, kita mesti berani meraikan kemenangan tetapi kita juga mesti lebih berani bermuhasabah apabila berdepan kekalahan.
“Saya sendiri turun bersama jentera wanita dalam kedua-dua pilihan raya tersebut. Saya melihat wanita meninggalkan keluarga, ada yang mengambil cuti, menggunakan wang sendiri dan tidur hanya beberapa jam sebelum kembali mengetuk pintu rumah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Srikandi
pada Kongres Wanita Nasional PKR sempena Kongres Nasional PKR di MITC di sini hari ini.
Beliau berkata, pengorbanan jentera Wanita dan Srikandi perlu dihargai, namun ia juga harus disusuli dengan persoalan mengenai langkah yang boleh diperbaiki bagi memastikan kekuatan parti dibina dengan lebih kukuh.
Nurhidayah turut mengingatkan kekuatan parti tidak boleh dibina hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya sebaliknya perlu dilakukan sebaik sahaja pilihan raya sebelumnya berakhir.
“Pilihan raya tidak bermula apabila SPR mengumumkan tarikh pilihan raya. Pilihan raya tidak bermula apabila bendera dinaikkan.
“Pilihan raya bermula sehari selepas pilihan raya sebelumnya berakhir kerana rakyat tidak menunggu musim pilihan raya untuk menilai kita,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya hanya berlaku di peringkat Putrajaya sebaliknya perlu diterjemahkan sehingga ke akar umbi dan peti undi.
“Kalau benar kita rakan dalam Kerajaan Perpaduan, jangan hanya berpadu ketika membentuk kerajaan, berpadu juga ketika mempertahankan kawan.
“Namun kita tidak boleh menjadikan perkara itu alasan untuk menuding jari. Kita mesti melihat ke dalam rumah kita sendiri,” katanya.
Nurhidayah berkata, Srikandi dan Wanita muda juga perlu diberi ruang lebih besar untuk membina masa depan parti termasuk peluang menjadi ahli majlis, ADUN dan ahli Parlimen.
Katanya, kepimpinan muda tidak akan muncul secara tiba-tiba tetapi perlu dibina melalui bimbingan, tanggungjawab dan kepercayaan.
“Jangan jadikan wanita muda sekadar pelengkap kepada organisasi. Libatkan mereka dalam kerja sebenar, dedahkan mereka kepada rakyat dan ajarkan mereka mengurus organisasi, memahami dasar serta menghadapi tekanan politik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan generasi muda supaya tidak hanya menuntut ruang tetapi membuktikan mereka layak untuk mengisinya.
“Kita jangan jadi diva, kita perlukan pedoman oleh kakak-kakak yang berpengalaman. Keberanian mesti datang bersama ilmu. Kelantangan mesti datang bersama disiplin. Cita-cita mesti datang bersama kerja dan peluang mesti dibalas dengan prestasi,” katanya.
Menyentuh sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita di meja membuat keputusan, Nurhidayah berkata, aspirasi itu perlu diterjemahkan dalam bentuk keputusan sebenar dan bukan sekadar menjadi ucapan di pentas kongres.
“30 peratus tidak boleh hanya hidup dalam ucapan. 30 peratus mesti hidup dalam keputusan. Bukan kerana wanita meminta simpati atau laluan mudah, tetapi kerana wanita telah bekerja, mempunyai kemampuan dan layak berada di meja tempat keputusan dibuat,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, perjuangan memperkukuh kepimpinan wanita bukan pertarungan antara generasi lama dan baharu kerana kedua-duanya saling memerlukan.
“Yang lama jangan takut memberi ruang. Yang baharu jangan sombong untuk belajar. Kita bukan berlumba menentukan siapa paling hebat, tetapi sedang menentukan siapa yang akan menyambung perjuangan ini,” katanya.
Nurhidayah berkata setiap jawatan mempunyai penghujungnya, namun legasi kepimpinan boleh diteruskan melalui pemimpin yang berjaya dibimbing dan dilahirkan.
“Kita mungkin bukan generasi yang memulakan perjuangan ini tetapi pastikan kita bukan generasi yang membiarkannya terhenti,” katanya.
Beliau berkata, selagi wujud ketidakadilan untuk dilawan dan rakyat yang perlu dibela, Srikandi akan terus berdiri untuk meneruskan perjuangan tersebut. – MalaysiaGazette
















