Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Nabil Halimi menyampaikan ucapan pergulungan pada sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengakui parti itu sedang “sakit” dan berani bermuhasabah supaya tidak terus menjadi “orang sakit dalam politik Malaysia” akibat terlalu bergantung kepada nostalgia Reformasi 1998, kata Naib Ketua AMK, Nabil Halimi.

Beliau berkata, PKR suatu ketika dahulu membawa pengharapan, reformasi dan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, agama, golongan kaya atau miskin.

“Parti kita sedang sakit. Suatu ketika dahulu, Keadilan membawa pengharapan, reformasi, keadilan untuk semua, merentasi kaum, agama, kaya dan miskin.

“Tetapi, hari ini kita mesti bertanya, di manakah pengharapan itu? Jangan sampai parti yang pernah menjadi simbol harapan berubah menjadi ‘the sick man of Malaysian politics‘ kerana hidup dengan nostalgia Reformasi 1998, tetapi semakin hilang kekuatan menghadapi realiti hari ini,” katanya.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Nabil Halimi menyampaikan ucapan pergulungan pada sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2026.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Kongres Nasional AMK 2026 di MITC, di sini, hari ini.

Menurut Nabil, penilaian terhadap keadaan semasa parti tidak seharusnya hanya dibuat berdasarkan pandangan orang luar, sebaliknya kepimpinan perlu mendengar suara ahli dan pejuang lama yang pernah mempertahankan parti ketika belum mempunyai kuasa serta jawatan.

“Tak perlu tanya orang luar. Tanya ahli kita sendiri. Tanya otai-otai yang berjuang ketika parti ini belum mempunyai kuasa dan jawatan. Adakah mereka puas hati dengan keadaan kita hari ini?” katanya.

Nabil berkata, walaupun ramai pimpinan PKR kini memegang jawatan dalam kerajaan termasuk sebagai menteri, wakil rakyat dan pegawai kerajaan, perkara lebih penting ialah sejauh mana mereka masih turun mendekati rakyat.

“Persoalannya bukan berapa ramai daripada kita sudah naik ke atas. Persoalannya, berapa ramai yang masih turun ke bawah untuk fahami denyut nadi rakyat?

“Berapa ramai antara kita yang masih turun ke kampung, flat, universiti dan komuniti anak muda bukan hanya ketika pilihan raya?” ujarnya.

Beliau menegaskan, PKR tidak boleh hanya kembali mendekati rakyat apabila pilihan raya semakin hampir, sebaliknya perlu hadir secara berterusan untuk memahami masalah serta keperluan masyarakat.

Dalam pada itu, Nabil memuji usaha Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim yang disifatkannya konsisten turun ke Padang Rengas hampir setiap minggu bagi menyantuni, mendengar dan membantu penduduk.

Beliau turut menyambut baik kenyataan Muhammad Kamil bahawa politik bukan soal siapa paling popular, tetapi siapa yang sanggup melakukan perkara yang betul walaupun keputusan itu tidak popular.

“Kerana akhirnya, kepemimpinan itu dinilai melalui keberanian kita menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat.

“Kita mesti hadir ketika rakyat memerlukan kita, bukan hanya ketika kita memerlukan undi mereka,” katanya.

Nabil turut mengakui terdapat kelemahan dalam kepimpinan di Cabang Petaling Jaya yang perlu diperbaiki.

“Sebab kalau kapal sudah hampir karam, jangan sibuk mengecat kapal. Cari apa yang bocor. Cari di mana kita tersalah haluan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan anggota AMK supaya tidak hilang harapan kerana sejarah membuktikan PKR mampu bangkit selepas melalui pelbagai episod kekalahan dan tekanan politik.

Katanya, PKR pernah hanya memiliki satu kerusi Parlimen pada 2004 sebelum bangkit pada 2008, selain berdepan pemenjaraan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2015 sebelum Pakatan Harapan (PH) berjaya menukar kerajaan pada 2018.

“Datang Langkah Sheraton, kita jatuh lagi. Di Johor kita tinggal satu kerusi, di Melaka kita tidak menang satu pun. Orang kata Keadilan sudah habis.

“Tetapi pada PRU15, Pakatan Harapan kembali mendapat kerusi terbanyak dan akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Justeru, Nabil berkata, sejarah mengajar bahawa PKR tidak akan mati hanya kerana kalah, sebaliknya parti itu berdepan risiko lebih besar sekiranya berhenti mendengar suara rakyat.

“Keadilan hanya akan mati apabila kita berhenti mendengar rakyat dan menyangka nostalgia reformasi sahaja sudah cukup untuk membuat rakyat terus bersama kita.

“Sebab itu apabila kita kalah, jangan cepat salahkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast