BENTONG – Dua warga emas cedera selepas pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Jalan Chamang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 2.15 petang tadi dan bergegas ke lokasi bersama agensi penyelamat berkaitan.
“Mangsa terlibat dalam kejadian tersebut merupakan seorang lelakidan seorang wanita yang sama-sama berusia 62 tahun.
“Kedua-dua mangsa telah mengalami kecederaan akibat kejadian itu dan telah dihantar ke Hospital Bentong untuk diberikan rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan kejadian tersebut, Zaiham menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak menghampiri atau berada di kawasan yang mempunyai pokok tumbang atau pokok yang kelihatan berisiko bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Orang awam juga dinasihat supaya segera melaporkan sebarang kejadian pokok tumbang atau pokok yang kelihatan berbahaya kepada pihak berkuasa atau agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















