Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Fuziah Salleh bercakap pada sidang media Perasmian Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR 2026 sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – Setiausaha Agung PKR, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh menyindir perubahan sikap sesetengah rakan seperfahaman yang kini memilih haluan politik berbeza sehingga meninggalkan kesan mendalam kepada parti.

Beliau berkata, perubahan dalam hubungan politik itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, terutama apabila rakan yang pernah bersama-sama dalam perjuangan mengambil keputusan yang sukar dipercayai.

“Ada rakan seperjalanan pada satu ketika, kini memilih haluan yang sukar kita percaya boleh berlaku.

“Ibarat tidur sebantal, mimpi lain-lain. Ia meninggalkan kesan yang bukan sedikit di hati sanubari kita. Tindakan yang buat kita rasa terhiris dan terluka,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka, hari ini.

Fuziah berkata, perkara itu berlaku ketika PKR sendiri sedang berdepan tempoh mencabar selepas melalui beberapa pilihan raya yang menguji kekuatan parti.

Menurutnya, PKR kehilangan beberapa kerusi dan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan yang selama ini menjadi sandaran perjuangan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kongres yang berlangsung hari ini bukan medan untuk menuding jari, mencari siapa yang salah atau membalas tindakan yang telah berlaku.

Sebaliknya, katanya, PKR perlu cukup matang untuk membaca realiti politik, jujur mengakui kelemahan serta berani belajar daripada pengalaman.

“Kita tidak boleh berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku. Kita mesti mengakui bahawa kita pernah kecewa, pernah sedih dan pernah terluka.

“Kita tidak boleh membiarkan luka menentukan masa depan kita,” katanya.

Fuziah berkata, luka bukan pengakhiran dan kekalahan bukan penamat perjuangan kerana sejarah PKR sendiri membuktikan parti itu mampu bangkit, memperbaiki diri dan membina semula kekuatan setiap kali diuji.

“Kita mungkin patah, kita mungkin jatuh, kita mungkin terluka. Tetapi kita tidak akan menyerah. Kita akan bangun, kita akan bangkit, kita akan kembali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast