Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar.

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah pengiktirafan terhadap hak mahasiswa untuk berfikir, bersuara, berorganisasi dan mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), G. Sivamalar berkata, pemansuhan AUKU bukan `hadiah’ kepada mahasiswa, sebaliknya langkah besar selepas lima dekad untuk menyempurnakan agenda reformasi.

“Selepas lebih lima dekad akta ini berkuat kuasa, sudah tiba masanya kita bergerak ke arah kerangka pendidikan tinggi yang lebih terbuka, progresif dan sesuai dengan tuntutan semasa.

“Universiti mesti menjadi medan ilmu, perbahasan dan pemikiran kritis. Mahasiswa yang berani bertanya, mengkritik dan berbeza pandangan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman.

“Kita tidak perlu takut kepada mahasiswa yang berani bersuara. Kita sepatutnya lebih bimbang apabila mahasiswa memilih untuk berdiam diri,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU 1971 bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa.

Presiden PKR itu berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang mahukan ruang kebebasan lebih luas, termasuk melalui memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan.

Sivamalar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman tersebut sambil menyifatkan desakan untuk memansuhkannya bukan perkara baharu.

Menurutnya, ia berlangsung sejak sekian lama sebagai sebahagian daripada perjuangan mengembalikan kebebasan mahasiswa dan memperkukuh autonomi universiti.

Kata beliau, ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran pada 2018, langkah penting telah diambil dengan memansuhkan Seksyen 15(2)(c) yang menyekat penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik di kampus.

Ujarnya, reformasi diteruskan di bawah Kerajaan MADANI menerusi pindaan AUKU pada 2024 yang antara lain memberikan lebih autonomi kepada badan mahasiswa dalam pengurusan kewangan serta menambah baik mekanisme tatatertib pelajar.

Namun, reformasi tidak boleh berhenti dengan pindaan demi pindaan.

Ujar Sivamalar, pemansuhan AUKU kelak perlu disusuli dengan kerangka perundangan baharu yang menjamin kebebasan akademik, autonomi universiti, hak mahasiswa serta kebertanggungjawaban institusi.

“Bagi saya, mesejnya cukup jelas. Janji politik bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya. Apabila rakyat memberikan mandat, janji itu menjadi amanah untuk ditunaikan.

“Masih banyak agenda reformasi yang perlu disempurnakan. Pengumuman hari ini adalah satu lagi langkah penting ke arah menunaikan agenda tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast