TEMERLOH – “Sepanjang 14 tahun bersama, dia tidak pernah buat begitu. Tidak pernah mesej satu tick”.
Itu luahan Saifulnizam Sulaiman, 39, yang mula berasa tidak sedap hati selepas mesej WhatsApp dan panggilan kepada isterinya, Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, tidak berbalas ketika wanita itu dalam perjalanan dari Jerantut ke Seremban bersama anak mereka.
Menurut Saifulnizam, isterinya yang membantu menguruskan perniagaan keluarga lazimnya akan memaklumkan kepadanya mengenai perjalanan mereka termasuk waktu bertolak, lokasi berhenti dan keadaan sepanjang perjalanan.
Bagaimanapun, rutin itu berubah apabila mesej yang dihantarnya sekitar jam 5 petang semalam tidak mendapat sebarang balasan.
“Saya sedang buat kerja ketika itu. Jam 7 malam saya tengok telefon, mesej WhatsApp tidak berjawab dan panggilan juga tidak dijawab.
“Sepanjang 14 tahun bersama, dia tidak pernah buat begitu. Ketika itu saya mula rasa tidak sedap hati,” katanya ketika ditemui media di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini, hari ini.
Lebih memilukan, Saifulnizam kemudian terlihat berita mengenai kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan kereta di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di media sosial.
“Ketika melihat video kemalangan di media sosial saya terdetik, itu isteri dan anak saya.
“Saya hanya tengok satu rakaman dashcam yang menunjukkan keadaan sebelum lori tangki terbabit terbalik.
“Saya tidak sanggup tengok video lain kerana saya tahu isteri dan anak saya berada dalam kenderaan itu,” katanya.
Video tular itu sekali gus menjawab persoalan bermain di mindanya selepas mesejnya kepada isteri tidak berbalas walaupun terdetik hati masih tidak percaya apa yang berlaku.
Serentak itu, dia terus menghubungi ahli keluarga sebelum bergegas dari Seremban ke Temerloh untuk mendapatkan kepastian.
Saifulnizam berkata, isterinya dijangka tiba di Seremban sekitar jam 6 petang selepas bertolak dari Jerantut kira-kira jam 2 petang selepas anak mereka selesai bersekolah.
Katanya, kali terakhir dia bertemu isteri dan anaknya adalah pada Selasa lalu dan tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan isterinya ketika itu.
“Semuanya seperti biasa. Isteri sentiasa beritahu saya mereka bergerak pukul berapa, berhenti di mana dan keadaan sepanjang perjalanan.
“Saya tidak pernah sangka perjalanan mereka kali ini akan berakhir dengan tragedi sebegini,” katanya dalam nada sebak.
Kemalangan kira-kira jam 4 petang semalam berlaku apabila lori tangki membawa kira-kira 32,000 liter petrol dan diesel yang dalam perjalanan dari Bera ke Temerloh terbabas dan terbalik sebelum menghempap kereta dinaiki Nur Fatima Syuhada bersama anaknya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12.
Kedua-dua mangsa dipercayai rentung selepas kedua-dua kenderaan terbakar.
Saifulnizam berkata, dia tiba di Temerloh kira-kira jam 1 pagi dan sudah melihat jasad isteri serta anaknya.
Jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Kampung Kuala Sanggang, dekat sini, iaitu kampung asal Nur Fatima Syuhada, sebaik urusan pengesahan identiti dan bedah siasat selesai. – MalaysiaGazette
Ibu, anak dipercayai mangsa rentung kemalangan kereta dan lori tangki
















