Sharifah Hazirah Syed Mohd Jufferi (Dua dati kanan) menziarah suami sahabat baiknya, Saifulnizam Sulaiman di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.

TEMERLOH – Sahabat kepada Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, atau lebih mesra dipanggil Adda, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang ceria, mudah mesra dan sentiasa menceriakan suasana ketika bersama rakan.

Nur Fatima Syuhada maut bersama anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori tangki di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di sini, semalam.

Rakannya, Sharifah Hazirah Syed Mohd Jufferi, 41,  Sharifah Hazirah, 41, berkata, Adda merupakan seorang yang baik, lembut dan pandai mengambil hati rakan-rakan sejak mereka mengenali satu sama lain ketika zaman pengajian di Kolej IKIP Kuantan yang kini dikenali sebagai Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP).

Sharifah Hazirah Syed Mohd Jufferi

“Adda seorang yang happy go lucky, sangat seronok bila berbual dan mudah mesra.

“Walaupun sudah lama tidak berjumpa, kami masih berhubung. Arwah sangat baik, lembut dan seorang yang pandai mengambil hati rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini, hari ini.

Sharifah Hazirah berkata, dia mengetahui mengenai kemalangan itu selepas melihat rakaman kejadian yang tular di media sosial, namun ketika itu tidak terlintas di fikirannya bahawa mangsa yang terbabit adalah sahabat baiknya.

“Pada awalnya saya tengok video itu dan menangis, tetapi tidak terfikir siapa yang berada dalam kereta.

“Bila nama arwah diketahui, Allahuakbar, terus lembik lutut saya. Tak sangka kemalangan itu begitu tragis dan arwah pergi bersama anaknya,” ujarnya.

Katanya, pemergian Adda bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut dirasai rakan-rakan yang pernah berkongsi pelbagai kenangan bersamanya sejak zaman belajar.

“Dia jenis orang yang bila kita berbual, suasana jadi ceria. Sebab itu ramai yang sayang dan senang berkawan dengan dia.

“Sampai sekarang saya masih rasa macam tidak percaya Adda sudah tiada,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, sebuah lori tangki bermuatan 32,000 liter minyak diesel dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki lorong bertentangan.

Lori berkenaan kemudian terbalik dan menghempap sebuah Perodua Bezza yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Nur Fatima Abdullah, 39 tahun, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12 tahun.

Difahamkan, semasa kejadian, ibu dan anak tersebut sedang dalam perjalanan dari Jerantut menuju ke Seremban, Negeri Sembilan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast