Pihak bomba melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

GEORGE TOWN – Sembilan lokasi di sekitar Pulau Pinang dilaporkan mengalami gegaran susulan gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang berlaku di Sumatera Utara, Indonesia hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima sembilan panggilan menerusi talian MERS999 antara 7.23  hingga 7.27 malam.

Beliau berkata, laporan diterima membabitkan kesemua lima daerah di negeri ini iaitu daerah Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.

Antara lokasi yang dilaporkan mengalami gegaran ialah Baystar Condominium dan One Precinct di Lengkok Mayang Pasir bagi daerah Barat Daya manakala Timur Laut pula membabitkan Apartment Manggis, Kondominium Summer Place dan Apartment Pelangi Gate di Lebuh Macallum.

“Laporan turut diterima dari Flat Pacific Megamall di Seberang Perai Tengah, Marminton Homes dan Crowne Plaza Hotel di Butterworth bagi Seberang Perai Utara serta TF-AMD di Batu Kawan bagi Seberang Perai Selatan,” katanya hari ini.

Tambah John Sagun, setakat ini, tiada mangsa dilaporkan dan pihaknya masih menjalankan pemantauan di lokasi terbabit.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) sudah dihantar ke lokasi untuk membuat pemantauan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Seramai 36 anggota termasuk penyelia daripada enam balai bomba terbabit dalam operasi pemantauan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan gempa bumi berukuran 6.9 magnitud itu berlaku kira-kira jam 6.54 petang dengan pusat gempa dilaporkan berada kira-kira enam kilometer dari Pematangsiantar, Sumatera Utara, Indonesia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gempa bumi kuat landa utara Sumatera, gegaran dirasai di Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast