KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan sebagai langkah terbaik dalam memberikan ruang demokrasi lebih luas kepada mahasiswa, namun suara serta rintihan rumah ibadat juga perlu diberi perhatian.
Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar berkata, pemansuhan AUKU membuktikan kerajaan bersedia mendengar suara mahasiswa dan mengambil tindakan terhadap tuntutan mereka.
Menurutnya, langkah itu memberi nafas baharu kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan secara lebih terbuka, berani dan telus selepas AUKU menjadi kerangka perundangan universiti sejak 1971.
“Saya menyambut baik pengumuman bahawa AUKU akan dimansuhkan bagi memberikan kebebasan serta ruang demokrasi yang lebih luas kepada golongan mahasiswa di Malaysia.
“Suara mahasiswa didengari dan tindakan segera diambil demi kebaikan mereka. Pemansuhan ini umpama melepaskan gari kepada pelajar dan memberi mereka kebebasan untuk menyuarakan pandangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sivakumar berkata, AUKU juga telah melalui beberapa pindaan sejak diperkenalkan, termasuk pindaan pada 2024 yang memindahkan kuasa tindakan tatatertib pelajar daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar serta membenarkan badan pelajar mengumpul dana.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan kerajaan memahami keperluan mahasiswa dan bersedia melakukan perubahan apabila sesuatu dasar dilihat perlu diperbaiki demi kepentingan rakyat.
“Namun, hasrat saya hanya satu, supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendengar apa yang dialami rumah-rumah ibadat di Malaysia.
“Saya yakin rangka kerja sedang diperkukuh untuk melindungi rumah-rumah ibadat supaya perkara yang tidak diingini seperti menjejaskan kebebasan beragama dapat dibanteras dengan berkesan,” katanya.
Menurutnya, isu sensitif membabitkan Biara Gua Sakyamuni di Gunung Kanthan, Perak, baru-baru ini menunjukkan pentingnya perkara berkaitan rumah ibadat dan kepercayaan agama dikendalikan secara berhati-hati serta tidak dibiarkan menjadi polemik berpanjangan.
Katanya, pandangan pelbagai pihak terhadap isu berkenaan perlu ditangani dengan pendekatan yang mengutamakan perdamaian dan keharmonian masyarakat.
“Saya ingin menegaskan agar isu sensitif ini ditamatkan dan perlu ada perdamaian supaya perkara sebegini tidak diulangi.
“Seiring prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, isu keagamaan perlu dikendalikan dengan betul. Rumah-rumah ibadat menjadi bukti setiap rakyat untuk menunjukkan kepercayaan mereka,” katanya.
Sivakumar berkata, kebebasan beragama merupakan antara perkara penting yang perlu dipelihara dalam sebuah negara majmuk kerana rumah ibadat bukan sekadar tempat beribadat, malah menjadi sebahagian daripada kehidupan dan identiti komuniti masing-masing.
Beliau berharap kerajaan tidak hanya memberi ruang kepada suara mahasiswa, tetapi turut membuka ruang yang lebih luas kepada wakil rumah ibadat untuk menyampaikan kebimbangan serta mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi.
“Janganlah sama sekali memusnahkan harapan rakyat dengan mempermainkan kepercayaan para penganut terhadap Tuhan.
“Harapan saya hanyalah kerajaan akan mempertimbangkan dan mendengari suara wakil-wakil rumah ibadat di samping mencari jalan penyelesaian segera supaya kita dapat membina sebuah negara yang maju dan harmoni,” katanya.
Sivakumar berkata, sebagaimana suara mahasiswa akhirnya didengar sehingga membawa kepada keputusan besar untuk memansuhkan AUKU, beliau berharap suara rumah-rumah ibadat juga akan mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan. – MalaysiaGazette















