Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara yang akan disalurkan secara terus untuk membantu rakyat serta menangani projek dan keperluan mendesak di kawasan masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tambahan itu membuktikan Kerajaan Madani tidak pernah mengurangkan peruntukan kepada kawasan Parlimen, malah terus mencari ruang untuk menambah bantuan kepada rakyat tanpa melalui birokrasi yang berlebihan.

Menurut beliau, pendekatan berkenaan membolehkan keperluan rakyat di peringkat akar umbi ditangani dengan lebih cepat, khususnya membabitkan bantuan kebajikan, kemudahan asas dan masalah setempat.

“Peruntukan tak pernah dikurangkan. Malah hari ini saya nak umumkan, untuk setiap kawasan Parlimen, langsung kepada rakyat, saya umumkan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya yang merupakan Presiden PKR.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tambahan itu melengkapkan pelbagai program perlindungan sosial sedia ada kerajaan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang keseluruhannya mencecah sehingga RM16 bilion.

Katanya, usaha membasmi kemiskinan dan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan, selain menunjukkan hasil apabila kadar miskin tegar kini berjaya diturunkan kepada 0.09 peratus.

“Terjemahan daripada kejayaan makroekonomi ke mikroekonomi adalah melalui program-program membela nasib rakyat.

“Sama ada B40 mahupun M40, bantuan persekolahan, Jualan Rahmah dan sokongan pembiayaan perumahan diberikan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kaum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan serta jentera PKR di peringkat cabang dan ranting supaya turun padang menerangkan pelbagai inisiatif kerajaan serta memastikan bantuan yang disediakan benar-benar sampai kepada rakyat.

Anwar berkata, usaha berkenaan penting supaya rakyat memahami manfaat yang disediakan kerajaan dan tidak tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast