Fahmi Fadzil pada Program Ziarah Kasih Kementerian Komunikasi di dua buah rumah penduduk di Bukit Katil dan Batu Berendam, Melaka hari ini.

MELAKA – Kerajaan menyambut baik pandangan 14 pembahas pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 yang menggesa parti itu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pandangan berkenaan menunjukkan sokongan daripada rakan parti komponen Kerajaan Perpaduan terhadap usaha meneruskan kerjasama dalam pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semestinya kami menerima baik pandangan rakan-rakan daripada parti komponen Kerajaan Perpaduan, setidak-tidaknya ucapan daripada pembahas yang menggesa agar parti tersebut kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dalam masa sama, dalam Kongres Keadilan juga ada dibangkitkan tentang usaha penambahbaikan, islah dan reform yang perlu dipercepat,” katanya.

Fahmi Fadzil

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberi selepas menghadiri Program Ziarah Kasih Kementerian Komunikasi di dua buah rumah penduduk di Bukit Katil dan Batu Berendam, di sini hari ini.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan dan Ketua Penerangan PKR berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), yang menyaksikan semua 14 pembahas setakat itu menyokong supaya DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-16.

Persidangan khas berkenaan diadakan bagi membolehkan lebih 4,200 perwakilan menentukan pendirian parti sama ada terus kekal atau menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau menyerahkan kepada DAP untuk membuat keputusan rasmi berhubung kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kita tunggu keputusannya, mungkin pukul 4,” katanya.

Persidangan DAP itu menjadi tumpuan selepas parti berkenaan mengadakan pengundian khusus bagi menentukan sama ada akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-16 atau sebaliknya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast