PUTRAJAYA – DAP bersedia memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan beberapa langkah yang telah dijanjikan kerajaan sebelum parti itu menilai perkembangan selanjutnya.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, perdana menteri sendiri memberikan beberapa garis masa penting termasuk pengumuman yang dijadualkan pada 30 Ogos, sambutan Hari Malaysia pada 16 September dan pembentangan Belanjawan pada awal Oktober.

Menurutnya, perkembangan itu perlu diberikan ruang kerana tidak semua perkara boleh dibincangkan secara terbuka melalui media.

“Semalam Perdana Menteri telah memberikan timeline (garis masa)

“Dia menyebut pada 30 Ogos, dia akan mempunyai satu pengumuman penting sebelum Hari Merdeka, diikuti oleh Hari Malaysia, 16 September dan kemudian diikuti oleh awal Oktober dalam pembentangan bajet.

“Jadi saya rasa kita perlu memberikan ruang kepada perdana menteri,” katanya pada sidang media selepas Persidangan DAP 2026, di sini, hari ini.

Anthony berkata, DAP akan terus membawa aspirasi dan pandangan akar umbi melalui Kabinet serta saluran rasmi kerajaan.

“Saya akui terdapat pandangan kritikal dalam kalangan perwakilan terhadap prestasi kerajaan, namun ia tidak bermakna parti perlu keluar daripada kerajaan,” katanya.

Sebaliknya, katanya, kritikan tersebut perlu diterjemahkan kepada usaha memperbaiki pentadbiran.

“Kami akan terus memainkan peranan kami di dalam kerajaan,” katanya.

Terdahulu keputusan hampir 88 peratus perwakilan menyokong DAP kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal memberikan mandat kepada kepimpinan parti untuk meneruskan pendekatan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast