Para perwakilan mendengar ucapan daripada Anthony Loke semasa Kongres Kebangsaan DAP 2026, semalam. foto Facebook DAP

 

KUALA LUMPUR – Kehadiran perwakilan DAP yang kurang daripada 50 peratus pada Kongres Kebangsaan semalam wajar diberi perhatian serius kerana ia mungkin mencerminkan keadaan sebenar sentimen dalam parti tersebut, kata Pengerusi Urimai, P. Ramasamy.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 4,620 perwakilan, hanya 2,221 hadir pada kongres berkenaan, sedangkan acara itu dianggap penting dalam menentukan hala tuju politik DAP susulan prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, dengan kedudukan DAP yang didakwa berada pada persimpangan politik kritikal, kadar kehadiran sepatutnya jauh lebih tinggi, sekurang-kurangnya antara 80 hingga 90 peratus.

“Malangnya, daripada keseluruhan 4,620 perwakilan, hanya 2,221 yang hadir. Dengan kata lain, kehadiran adalah rendah, kurang daripada 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy berkata, isu kehadiran itu tidak seharusnya diketepikan sebagai perkara biasa dalam persidangan kebangsaan parti, terutama apabila kongres tersebut melibatkan usul penting sama ada DAP perlu kekal dalam kerajaan gabungan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang mempertahankan kadar kehadiran berkenaan sebagai sesuatu yang lazim berlaku dalam persidangan kebangsaan DAP, Ramasamy berkata: “Hello, kongres 16 Ogos bukan sekadar persidangan kebangsaan biasa, tetapi kongres yang sepatutnya menentukan hala tuju politik parti”.

Lagipun, kehadiran pada 16 Ogos adalah kurang daripada 50 peratus, bukannya purata kehadiran 70 hingga 80 peratus.

Ramasamy mempersoalkan mengapa lebih separuh daripada jumlah perwakilan tidak menghadiri kongres tersebut sekiranya isu hala tuju politik parti benar-benar mendapat perhatian menyeluruh.

“Adakah saya betul jika mengatakan bahawa sekiranya 90 peratus perwakilan hadir, terdapat kemungkinan usul untuk kekal dalam kerajaan akan ditolak?

Dalam kongres itu, usul supaya DAP kekal dalam kerajaan gabungan yang diterajui PH diluluskan dengan sokongan 1,857 perwakilan atau 88.2 peratus.

Seramai 242 perwakilan menentang usul berkenaan, manakala tujuh kertas undi rosak.

Bagaimanapun, Ramasamy mendakwa, keputusan tersebut tidak semestinya menggambarkan sentimen majoriti keseluruhan anggota DAP kerana lebih separuh daripada perwakilan yang layak tidak hadir.

Beliau mendakwa ketidakhadiran dalam jumlah besar itu boleh menjadi petunjuk terdapat rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota parti, termasuk berkaitan keputusan untuk terus berada dalam kerajaan.

“Ketidakhadiran lebih daripada 50 peratus perwakilan pada kongres itu mungkin menunjukkan tidak semuanya baik dalam DAP. Ia juga mungkin menunjukkan kurangnya sokongan terhadap usul untuk kekal dalam kerajaan,” katanya.

Ramasamy berkata, kepimpinan DAP sepatutnya meneliti sebab di sebalik kadar kehadiran yang rendah itu dan tidak hanya meraikan keputusan undian sebagai kemenangan.

Menurut beliau, DAP juga perlu menilai semula keputusan kongres berkenaan dengan mengambil kira faktor ketidakhadiran perwakilan yang begitu tinggi.

Beliau turut mengkritik kepimpinan Anthony Loke, yang didakwa gagal membawa DAP memperjuangkan hak bukan Melayu secara berkesan.

Ramasamy berkata, persoalan terhadap kepimpinan parti sendiri perlu diberi perhatian, khususnya apabila terdapat perwakilan yang mempersoalkan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap DAP.

“Tidakkah lebih wajar jika keseluruhan kepimpinan DAP meletakkan jawatan secara beramai-ramai bagi membuka ruang untuk mencari formula politik alternatif?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast