KUANTAN – Polis telah melengkapkan kertas siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta yang mengorbankan dua individu dalam insiden tragis di Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak, Temerloh 14 Ogos lalu.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
“Pemandu lori tangki itu masih dalam tahanan polis sehingga esok dan pertuduhan akan dibuat selepas mendapat kelulusan pejabat Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniit (KJPJKK) Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari dilantik sebagai KJPJKK Pahang yang baharu.
Jawatan itu sebelum ini disandang Asisten Komisioner Muhammed Rizal Kamaruddin selepas Datuk Mohamad Noor Yusof Ali dilantik Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada bulan Mei lepas.
Dalam pada itu, Azry Akmar turut mengesahkan identiti kedua-dua mangsa terlibat adalah Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39 dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12 menerusi perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) waris dengan bantuan Jabatan Kimia.
Dalam kejadian tragis pada kira-kira jam 4.30 petang Jumaat lepas, kedua-dua mangsa maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa muatan 32,000 minyak diesel dan petrol sebelum terbakar di lokasi terbabit.
Difahamkan, jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kuala Sanggang, Temerloh hari ini selepas solat jenazah yang akan dilaksanakan selepas solat Zohor di Masjid Sanggang (Saidina Abu Bakar As-Siddiq). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Ibu, anak dipercayai mangsa rentung kemalangan kereta dan lori tangki
















