Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah mencabar Pemuda Amanah Selangor melepaskan semua jawatan yang diperoleh melalui kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Mua’adzam menegaskan, Amanah Selangor perlu tunjukkan contoh terlebih dahulu dengan meninggalkan semua kedudukan yang dinikmati hasil kerjasama dalam Kerajaan Madani.

“Jika masih Pemuda Amanah mahu Barisan Nasional (BN) keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor, kita pun nak beri buah.

“Adakah Amanah sanggup melepaskan jawatan Menteri, Exco dan semua kedudukan yang diperoleh hasil kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan?” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al-Rashid Haron mencetuskan kontroversi apabila menggesa BN diusir keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor sekiranya parti itu tidak lagi mampu memberi sumbangan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut Danial, kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Selangor tidak akan terjejas sekiranya BN tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

Selain itu, Mua’adzam turut mengemukakan cabaran lebih besar dengan mengembalikan mandat kepada rakyat sekiranya pihak tertentu benar-benar yakin dengan kekuatan politik masing-masing.

“Kalau sudah rasa hebat dan kuat sangat, suruh saja Amirudin bubarkan Dewan Negeri Selangor. Suruhlah Anwar Ibrahim bubarkan Parlimen.

“Kita kembalikan mandat kepada rakyat, biar rakyat tentukan!” katanya.

Dalam pada itu, Mua’adzam berkata, perbezaan pandangan dalam kerajaan tidak sepatutnya secara automatik dijadikan alasan untuk mendesak mana-mana parti keluar daripada pentadbiran.

Tegasnya, pendekatan sedemikian hanya menimbulkan persoalan mengenai kematangan politik pihak yang terlibat, khususnya apabila kestabilan kerajaan sepatutnya menjadi keutamaan.

“Jika setiap kali berbeza pandangan penyelesaiannya ialah ‘keluar kerajaan’, nampaknya Pemuda Amanah lebih mahir sembang kacang daripada mentadbir,” katanya.

Katanya lagi, BN tidak seharusnya dijadikan kambing hitam dalam kemelut politik Kerajaan Negeri Selangor.

Mua’adzam sebaliknya menegaskan, persoalan lebih besar yang perlu dijawab ialah sejauh mana Amanah mampu menawarkan penyelesaian terhadap masalah rakyat selepas lebih sedekad berada dalam pentadbiran negeri.

“Keluar atau tidak BN bukan isu utama. Apa penyelesaian Amanah kepada kos sara hidup, pendidikan percuma yang dilaungkan dulu, pemansuhan hutang PTPTN, peluang pekerjaan anak muda dan isu perumahan?

“Rakyat mahu jawapan, bukan melalak tak tentu pasal dengan drama politik bangang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast